Pencuri sarang burung walit dicekup

Antara barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
Antara barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Tindakan dua lelaki yang memecah masuk dan mencuri sarang burung walit di kawasan Bumbung Lima di sini mengundang padah apabila mereka diberkas awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 3.25 pagi itu, pemilik rumah sarang burung walit menyedari premisnya dipecah masuk selepas penggera keselamatan yang dipasang berbunyi.

Menurutnya, lelaki berkenaan bersama beberapa rakannya bergegas ke premis berkenaan sebelum berjaya menangkap dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun.

"Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati rumah sarang burung walit tersebut berada di tepi jalan besar dan agak gelap kerana mempunyai pencahayaan lampu jalan yang terhad di sepanjang jalan.

"Suspek dipercayai menggunakan tali panjang untuk memanjat dan masuk melalui lubang di tingkat tiga bangunan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Katanya, pemeriksaan polis turut berjaya merampas satu bungkus plastik mengandungi sarang burung walit disyaki dicuri, seutas tali, batang besi boleh laras, penutup muka, lampu suluh dan alat yang diubah suai untuk mengambil sarang burung.

"Ujian saringan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua barang yang dirampas dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.