'Syukur anak isteri selamat'

Khairul Hakimi (empat dari kanan) bersama Mohd Affandi (kanan), Pemuda PH, Rela dan penduduk kampung yang hadir untuk membaik pulih rumahnya secara bergotong-royong di sini kelmarin.
Khairul Hakimi (empat dari kanan) bersama Mohd Affandi (kanan), Pemuda PH, Rela dan penduduk kampung yang hadir untuk membaik pulih rumahnya secara bergotong-royong di sini kelmarin.
A
A
A

JELI - Meskipun rumah didiami rosak teruk dipukul ribut Sabtu lalu, seorang suami di Kampung Bukit Tok Ali di sini tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan isteri dan anak dari menjadi mangsa bencana berkenaan.

Khairul Hakimi Husin, 33, berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, dia yang bimbang dengan keselamatan keluarganya bertindak lebih awal menghantar isteri, Norzaidah Zakaria, 27, dan anak, Nor Aira Sumayyah, setahun sembilan bulan ke rumah ibunya di kampung bersebelahan.

"Alhamdulillah, kalau tak, mungkin kayu bahagian atas menimpa kami selepas bumbung ruang tamu rumah diterbangkan.

"Ruang tamu jadi tempat kami anak-beranak bersantai dan banyak masa dihabiskan di situ. Mungkin suatu yang buruk menimpa kami jika tidak meninggalkan rumah ketika itu," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Khairul Hakimi berkata, hatinya mula resah ketika ribut kali pertama sebelum memutuskan menghantar isteri ke rumah ibunya di Kampung Bukit Jering yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

"Ribut yang terbangkan bahagian rumah ini adalah yang ketiga, memang kuat, berputar-putar seolah puting beliung," katanya.

Sebelum ke rumah ibunya, dia sempat berpesan pada jiran supaya segera menghubungi jika ada apa- apa yang berlaku.

"Sebaik tiba di rumah dan belum pun sempat buat apa-apa, jiran hubungi beritahu bumbung bahagian ruang tamu dan bilik tidur rumah saya sudah diterbangkan ribut berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Hakimi berkata, dia bergegas pulang untuk melihat keadaan rumahnya sebelum mendapati sebahagian besar bumbung rumah berkenaan sudah beralih dari kedudukan asal.

Terdahulu, Khairul Hakimi menerima kunjungan sekumpulan kira-kira 15 Pemuda Pakatan Harapan (PH), Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dan penduduk kampung yang sepakat membaik pulih kerosakan dialami secara bergotong royong.

Ketua Cawangan PH Jerimbong, Mohd Affandi Ishak berkata, mereka sepakat mengadakan gotong-royong bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

"Jika nak upah, mungkin ia memakan kos sebab kerugian dialami pun dianggarkan sekitar RM5,000. Keluarga ini mendapat sumbangan zink daripada Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Kami bantu mengikut kemampuan yang ada, sekurang-kurangnya kos untuk baik pulih dapat digunakan untuk perkara lain," katanya.