Islam rahmat untuk semua

A
A

ISLAM agama sejahtera. Islam itu sendiri bermaksud aman dan selamat.

Seluruh umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah demi keamanan ummah dan manusia sejagat.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud, “Berbicaralah kepada masyarakat dengan cara lembut dan baik”.

Baru-baru ini, pihak Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) telah melancarkan buku bertajuk Islam Rahmat untuk Semua ketika majlis perasmian Malaysia Global Chinese Muslim Conference oleh Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Hotel Rennaisance Kuala Lumpur.

Jika dilihat pada judul buku ini, mungkin tidak terlintas di fikiran kita bahawa penulisnya adalah seorang yang bukan Islam.

Meskipun kedua-dua penulis buku ini bukan beragama Islam, penulisan mereka tentang penghayatan Islam di Malaysia berdasarkan pengamatan dan pengalaman seharian mereka hidup di dalam masyarakat Islam sememangnya menarik.

Penulis pertama ialah Dr Naresh Kumar, seorang pensyarah juga Ketua Bahagian Penyelidikan dan Jaringan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Beliau telah menerbitkan lebih daripada 100 artikel untuk jurnal antarabangsa, prosiding persidangan, kertas seminar dan bab buku dalam bidang kepakaran beliau iaitu pembangunan sumber manusia, pengurusan strategik dan inovasi dalam organisasi.

Beliau beragama Hindu dan hanya memakan sayur-sayuran (vegetarian).

Penulis kedua bernama Cheng Po Cen, Presiden Persatuan Perancang Kewangan Bijak Malaysia serta AJK Induk Persatuan Peranakan Cina Kelantan.

Beliau juga merupakan Ketua Chapter Negeri Kelantan bagi Perdana Global Peace Foundation Club yang presidennya merupakan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saudara Cheng beragama Buddha.

Saya bayangkan cukup sukar bagi mereka yang bukan beragama Islam untuk menulis buku berkaitan Islam dalam keadaan dunia Islam ditekan pada setiap penjuru dan disalah ertikan sebagai ideologi yang menyuburkan keganasan.

Saya yakin hasil penulisan mereka ini dapat memberi sudut pandang yang jarang dikupas, melalui kaca mata yang berbeza.

Ia akan menjadi penanda aras baharu bagi golongan bukan Islam untuk melihat Islam pada hari ini.

Antaranya, ia boleh mewujudkan interaksi yang harmoni, sikap toleransi dan hormat-menghormati dalam hubungan antara penganut agama berbeza di Malaysia.

Menurut Datuk Dr Mohd Nor Manuty, Pengerusi Lembaga Pengarah UNISZA, buku ini adalah satu manifestasi keunikan Fiqh Ta’ayush al-Silmi (Fekah Kehidupan Damai) yang wujud di negara ini sejak berdekad dulu.

Oleh itu, karya ini sangat relevan dengan wacana kontemporari Islam dan bermanfaat besar bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Menurut kedua-dua penulis, buku ini bukan untuk umat Islam semata-mata tetapi untuk seluruh umat manusia pelbagai bangsa dan agama agar dapat menilai kembali Islam daripada sudut pandangan yang berbeza.

Mereka ingin menyampaikan mesej kepada sahabat bukan Islam yang lain agar menilai kembali persepsi Islam sebagai agama pembawa keamanan, bukannya keganasan.

Mereka menyeru agar masyarakat bukan Islam mengenal Islam berdasarkan nilai murni yang dibawa Baginda Nabi Muhammad SAW.

Jika saudara Cheng begitu rapat dengan masyarakat Islam kerana beliau dan isteri merupakan Cina Peranakan Kelantan, bagaimana pula dengan Dr Naresh yang berasal dari Ipoh?

Dr Naresh yang sebelum ini berkhidmat di UPM, mempunyai ramai sahabat karib Melayu.

Beliau tidak menghadapi masalah apabila memilih untuk berkhidmat di UMK pada tahun 2012 walaupun terdapat suara sindiran bahawa Kelantan ialah negeri Islam.

Dr Naresh banyak melakukan kajian ilmiah berkaitan Islam.

Hasil kajiannya diterbitkan dalam jurnal antarabangsa dan telah dirujuk serta menerima sanjungan daripada ahli akademik seluruh dunia sehinggakan ramai yang tertanya-tanya sama ada beliau telah memeluk Islam kerana banyaknya beliau berbicara tentang Islam.

Sekalung tahniah buat penulis, penerbit, pengedar dan semua yang terlibat dalam menjayakan penerbitan buku ini.

Semoga sesiapa sahaja yang membaca buku Islam Rahmat untuk Semua beroleh kesejahteraan dunia dan akhirat.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.