Umat Islam perlu jadikan Kitab Turath sebagai panduan hidup

Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab menyampaikan syarahan pada majlis Munaqasyah Ilmiah yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada Rabu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

A
A
A

GOMBAK - Kitab Turath perlu dijadikan sebagai contoh mahupun panduan bagi melahirkan prinsip ilmu dan memahami realiti yang berlaku pada masa sekarang.

Bekas Mufti Besar Mesir, Professor Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab berkata, mempelajari kitab Turath adalah penting bagi hidup seseorang umat Islam menjadi lebih kuat dan berada di bawah naungan syariat.

Turath ialah pengajian kitab ulama silam yang merangkumi adab iaitu sastera Arab, syariah, usuluddin dan akhlak.

“Apabila memerhati (mempelajari) Turath dengan mendalam, kita dapat mengeluarkan kaedah dan isu (permasalahan) kemudian buat contoh dan dapat memahami realiti sekarang.

“Kita buat semua ini bagi hidup sekarang lebih kuat, dan mendapat naungan syariat. Jangan biar Turath dibuang dan tidak berpegang kepada Turath,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Festival Turath Islami acara ke-enam yang bertajuk ‘Cabaran Terhadap Tradisi Turath Dalam Abad ke-21’ di Dewan Senat, Universiti Islam Antarabangsa pada Rabu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab (bawah, tengah) dan Timbalan Rektor UIA, Prof Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman (bawah, kiri) pada majlis Munaqasyah Ilmiah yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada Rabu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Selain Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, majlis tersebut disertai seramai 145 alim ulama pelbagai institusi pengajian Islam tradisional dari seluruh negara, ahli-ahli akademik universiti tempatan dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Muslim.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Festival Turath Islami yang pertama kali dianjurkan itu akan berlangsung selama enam hari bermula 20 Mei hingga 25 Mei ini.

Menurut Amirudin, festival anjuran kerajaan negeri itu akan mengangkat perbincangan serta penghayatan tentang kitab Ihya’ ‘Ulumudin karya Imam Al-Ghazali.

Dalam masa sama, Ali Jum’ah yang merupakan ulama antarabangsa itu berkata, bagi memahami Turath, seseorang perlu mengkaji dan mengambil kaedah yang digunakan dalam ayat tersebut seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan.

Menurutnya, sekiranya seseorang penuntut mengamalkan perkara tersebut, individu itu boleh bertahan dan meneruskan kehidupan walau di mana sahaja dengan pelbagai situasi.

“Jika kita buat satu kaedah (mengkaji atau aplikasi), Turath yang digunakan tidak tentu (betul) kepada satu permasalahan sahaja dan kaedah-kaedahnya. Kita tidak boleh aplikasi masalah tersebut sebagaimana hidup pada zaman dahulu. Ini tidak boleh.

“Kaedah yang mengatasi zaman dan tempat menjadikan manusia boleh berinteraksi dengan mudah dan berdisiplin,” ujarnya.