KPKT perlu 3 tahun lengkapkan kertas cadangan pilihan raya kerajaan

Zuraida Kamarudin
Zuraida Kamarudin
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memerlukan tiga tahun untuk menghasilkan satu kertas cadangan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, dalam tempoh itu pihaknya akan mengadakan bengkel dan forum awam kepada semua pihak berkepentingan selain menjalin kerjasama dengan gabungan demokrasi tempatan untuk mendidik orang awam berhubung pilihan raya kerajaan tempatan.

"Dalam masa tiga tahun ini kita membuat bengkel, forum dan sebagainya kepada semua pemegang taruh. Kemudian kita buat perancangan dan hari ini adalah langkah kedua iaitu yang mana gabungan kerajaan tempatan main peranan untuk turun padang bersua dengan komuniti, mendidik mereka apa itu kerajaan tempatan dan peranannya.

"Pada masa sama, KPKT akan membuat pindaan akta yang perlu. Insya-ALLAH selewat-lewatnya akhir tahun ini kita bentangkan kepada Kabinet untuk pinda akta-akta berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Awam 'Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Siapa Untung, Siapa Rugi' yang turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo di sini hari ini.

Menurutnya, tempoh pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan itu akan ditentukan selepas kertas cadangan itu dibentang dan mendapat kelulusan Kabinet.

"Pelaksanaan pilihan raya ini boleh dijalankan secara berperingkat, tidak semestinya semua kerajaan tempatan perlu melaksanakan pilihan raya ini dalam satu masa. Pulau Pinang sebuah negeri yang matang, mereka telah mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan ketika mereka dalam pembangkang.

"Insya-ALLAH, apabila tiba waktu pelaksanaannya Pulau Pinang akan menjadi nombor satu dalam senarai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya memberi peluang kepada pihaknya untuk membentangkan kertas cadangan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

"Tun Dr Mahathir mungkin mendengar pandangan lama yang masih lagi berlegar dalam fikiran Tun. Tetapi apa pun sebagai sebuah kerajaan yang profesional, satu pembentangan yang menyeluruh harus kita ketengahkan dan digunakan sebagai dasar untuk buat keputusan. Kita tidak boleh buat keputusan atas dasar dengar cakap orang lain," katanya.

Sementara itu, Jagdeep berharap pilihan raya kerajaan tempatan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat memandangkan Pulau Pinang telah sudah lama memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya itu sehingga membawa isu itu ke peringkat mahkamah tertinggi.

"Kehadiran menteri pada forum hari ini menunjukkan komitmen beliau untuk melihat kepada usaha mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat.

"Isunya sekarang adalah bila (pelaksanaannya). Kita menyokong hasrat ini harap ia boleh dipercepatkan. Saya ada keyakinan yang tinggi ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama