Timbang semula sambung lesen Lynas

Fakhrul Anuar
Fakhrul Anuar
A
A
A

KUANTAN - PKR Cabang Kuantan mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya mempertimbangkan semula penyambungan lesen operasi kilang bumi nadir Lynas di negeri ini.

Ketuanya, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, ini kerana risiko longgokan sisa radioaktif yang mencecah 500,000 kilogram di dalam kilang tersebut sejak kilang itu mula beroperasi pada 2012.

“Keputusan kerajaan juga bercanggah dengan janji pihak Lynas untuk menghantar semula sisa radioaktif ini ke Australia.

“Kita juga gesa supaya kerajaan tidak membenarkan tapak penyimpanan sisa radioaktif itu di bina di negeri ini,” katanya hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu secara bersama dengan Timbalan Ketua PKR Cabang Kuantan, Sim Chon Siang dan Naib Ketua Cabangnya, K Nandakumaran.

Fakhrul Anuar berkata, desakan ahli Parlimen Kuantan, penduduk dan pertubuhan masyarakat secara berterusan dibuat sejak cadangan pembukaan kilang ini namun tidak diendahkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kemenangan Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan baharu dilihat mampu menyelesaikan isu ini tetapi berlaku pula sebaliknya.

Jelasnya, penubuhan Panel Pakar dan Libat Urus Dengan Masyarakat yang diusahakan di bawah Kementerian Alam Sekitar, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah membawa kepada satu laporan lengkap mengenai kewujudan longgokan sisa radioaktif tersebut sebagaimana yang dibimbangi mereka sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, propaganda daripada Lynas sebaliknya pula mendiamkan isu ini daripada pengetahuan awam.

“Sehubungan dengan itu kami mendesak dan merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat,” katanya.