Timbang semula keputusan bentang RUU kawalan tembakau - CCC

Kerajaan digesa untuk pertimbangkan semula keputusan bentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang merangkumi dasar GEG dalam sesi Parlimen akan datang. Gambar kecil: Tarmizi Anuwar
Kerajaan digesa untuk pertimbangkan semula keputusan bentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang merangkumi dasar GEG dalam sesi Parlimen akan datang. Gambar kecil: Tarmizi Anuwar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan semula keputusan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang merangkumi dasar penamat generasi perokok (GEG) dalam sesi Parlimen akan datang.

Wakil Consumer Choice Center (CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, kajian lebih mendalam perlu dijalankan mengenainya yang melibatkan keutamaan pengguna.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk kerajaan berhenti mengarah pengguna tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

“Semua pengguna mempunyai kepentingan asas dalam mempertahankan kebebasan peribadi dan sivik. Oleh itu, mereka harus diberi pilihan peribadi untuk memutuskan apa yang sesuai untuk mereka tanpa campur tangan yang berlebihan.

"Selain itu, apa yang pengguna perlukan ialah peraturan yang boleh melindungi mereka daripada menyekatnya kerana masalah seperti merokok dan vape adalah pelbagai.

“Kerajaan harus mendidik pengguna dengan maklumat yang benar dan tepat daripada menyebarkan mitos atau maklumat palsu mengenai topik seperti vape yang dikatakan lebih berbahaya daripada rokok.

“Banyak kajian saintifik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa telah membuat kesimpulan bahawa beralih sepenuhnya kepada vape memberikan manfaat kesihatan yang penting dan bukannya terus merokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Tarmizi, penyelidikan terkini daripada Institut Psikiatri, Psikologi dan Neurosains (IoPPN) di King's College London pada September 2022 mendapati bahawa penggunaan produk vape berbanding merokok membawa kepada pengurangan ketara dalam pendedahan kepada toksin yang menggalakkan kanser, penyakit paru-paru dan penyakit kardiovaskular.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan untuk memberi tumpuan kepada keselamatan pengguna.

“Ini kerana insiden rokok seludup di Malaysia adalah tinggi iaitu 56.6 peratus menurut Kajian Rokok Seludup baru-baru ini oleh Nielsen IQ. Ini membimbangkan kerana produk haram ini mengandungi bahan berbahaya yang tidak sesuai untuk dimakan manusia.

“Selain itu, rokok seludup ini mudah diakses oleh remaja kerana ia dijual di kedai runcit atau dalam talian. Kerajaan sepatutnya mengutamakan usaha memerangi masalah ini daripada meluluskan rang undang-undang yang boleh membawa kepada peningkatan produk seludup.

“Kanak-kanak di bawah umur tidak boleh dibenarkan untuk vape atau merokok. Bagi mengelak atau mengurangkan risiko perkara ini berlaku, kerajaan perlu memastikan pengesahan umur di tempat jualan dikuatkuasakan bagi menghalang kanak-kanak di bawah umur daripada membeli produk itu," katanya.