ERC syor mansuh perang poster

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Perang poster dan bendera antara parti mungkin akan dimansuhkan pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Malaysia, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, cadangan itu disyorkan selepas melihat banyak masalah timbul hanya disebabkan perang poster termasuklah perebutan lokasi dan selebihnya pembaziran.

Menurutnya, keghairahan memasang poster calon dan bendera parti di satu-satu lokasi juga hanya menyebabkan perbelanjaan lebih besar perlu ditanggung parti bertanding.

"Pada ketika ini, kita antara negara yang tertinggal dan masih melaksanakannya (perang poster), jadi kita syorkan supaya pada pilihan raya akan datang tidak akan ada lagi perang poster.

"Jika sikit-sikit tak mengapa, sesetengah (tempat) over doing dengan satu pacak sini satu pacak sana.

"Banyak masalah nak dijaga dimana nak letak poster dan sebagainya, tambahan pula ia menggunakan perbelanjaan yang besar dan pembaziran," katanya pada sidang media sempena Sesi Libat Peringkat Negeri Perak di Dewan Laman Seri Ridzuan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu masih di peringkat kajian memandangkan di sesetengah tempat seperti pedalaman memerlukan pengecualian bagi tujuan hebahan.

"Jika kita bercakap soal calon dan sebagainya, kita maklum kerana itu satu keperluan, ada juga yang mencadangkan diganti dengan billboard, itu juga sedang kita kaji," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ab Rashid berkata, ERC akan mencari satu solusi terbaik bagi memastikan semua petisyen pilihan raya dapat didengar di mahkamah.

Katanya, ia satu intipati penting dalam proses pilihan raya yang perlu dikaji secara terperinci selepas kebanyakan petisyen sebelum ini ditolak di peringkat awal lagi hanya disebabkan masalah teknikal.

"Undang-undang ini perlu diubah suai bagi memuaskan hati banyak pihak, jadi satu jawatankuasa undang-undang dibentuk dan sedang kaji secara mendalam akan perkara ini," katanya.

Selepas Perak, sesi libat urus yang tamat pada Ogos ini akan berlangsung di Kangar, Perlis (19 Ogos), Alor Setar, Kedah (20 Ogos) dan dua sesi diadakan di Sarawak iaitu di Miri pada 26 Ogos disusuli di Kuching 28 Ogos.

Beliau menambah, semua agenda reformasi yang digariskan dan dicadangkan hasil kajian jawatankuasa itu tidak mungkin dapat

digunapakai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka berlangsung pada 2021.

"Itu terlalu awal kerana perkara ini melibatkan sistem dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) perlu bersedia dari segi itu terlebih dahulu," katanya.