Pulih kualiti air di perairan Pulau Pinang

Nazri (tengah) bersama komuniti nelayan pada sidang media yang diadakan petang semalam.
Nazri (tengah) bersama komuniti nelayan pada sidang media yang diadakan petang semalam.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) menggesa kerajaan negeri supaya menghentikan projek-projek baharu yang dirancang untuk tambakan laut di seluruh negeri ini.

Sebaliknya, kerajaan negeri perlu mencari jalan untuk merawat dan memulihkan kembali kualiti air laut, yang dilihat semakin tercemar akibat kerakusan pembangunan sehingga menjejaskan ekosistem serta kualiti air.

Pengerusi Pen Mutiara, Nazri Ahmad berkata, kebelakangan ini hasil tangkapan nelayan mengalami kemerosotan mendadak dan kehadiran semakin banyak obor-obor di perairan negeri ini menjadi petanda air laut di sini sedang mengalami pencemaran.

Menurutnya, walaupun kumpulan nelayan tidak mempunyai kepakaran secara saintifik mengenai kualiti air laut, namun pengalaman mereka yang mencari rezeki di lautan sejak sekian lama dapat merasakan perubahan yang berlaku.

"Jika dulu hasil laut terutama ikan kembung sangat banyak dan murah, namun kini hasil diperoleh nelayan sangat kurang dan harga pula jadi mahal.

"Semua berpunca daripada pencemaran yang semakin parah ketika ini. Malah nelayan yang keluar memukat bukan bawa naik ikan yang banyak, sebaliknya obor-obor yang tersangkut di pukat kami," katanya pada sidang media di sini.

Nazri berkata, sekiranya masalah pencemaran laut tidak dapat dibendung, pendapatan nelayan tentu akan terjejas teruk sekaligus memberi tekanan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu mencari jalan dalam memulihkan tahap kualiti air agar hasil laut dan hidupan marin akan terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini, kerajaan negeri bercadang untuk menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Difahamkan, jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

Sementara itu, Nazri berkata, pihaknya juga meminta kerajaan negeri menyelesaikan beberapa isu yang masih gagal diselesaikan sehingga kini berhubung projek tambakan Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Katanya, nelayan yang terlibat dengan projek tambakan pada 1999 sebelum ini dijanjikan dengan pampasan RM12,500, tetapi setakat 2003 mereka hanya menerima bayaran sebanyak RM8,500 manakala bakinya sehingga kini masih tidak dibayar.

"Selain itu, janji penempatan kekal untuk nelayan di Butterworth terdiri daripada kuarters dan jeti nelayan juga belum ditunaikan," katanya.