Penjawat awam rugi ditipu RM15,000

Gambar hiasan
A
A

KOTA BHARU – Hasrat seorang penjawat awam mendapatkan pinjaman wang RM10,000 yang diiklankan di media sosial lebur apabila dia pula kerugian sejumlah RM15,000 akibat ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Kejadian berlaku selepas lelaki yang berusia 40-an tersebut melihat satu iklan pinjaman wang yang dipaparkan di laman sosial Facebook dan berurusan hanya melalui aplikasi WhatsApp tanpa bersemuka dengan suspek bermula pada 5 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa ingin membuat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000 dan mendedahkan maklumat peribadinya dengan menyerahkan imej MyKad serta slip gaji.

Katanya, sebaik menerima maklumat peribadi tersebut, suspek mula meminta mangsa untuk membuat bayaran sebanyak RM380 yang dikatakan sebagai wang setem hasil.

“Suspek kemudian meminta pelbagai lagi jenis bayaran yang kononnya bagi tujuan insurans dan takaful, tambahan bayaran insurans dan takaful atas alasan mangsa dalam kategori berisiko tinggi.

“Mangsa juga diminta memasukkan sejumlah wang kepada suspek yang dikatakan untuk membuat bayaran kos guaman, bayaran tunggakan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hari berurusan sehingga 8 Ogos, mangsa juga dikehendaki membuat bayaran balik jumlah cek pinjaman terlebih bayar walaupun dia belum menerima wang pinjaman tersebut.

“Kesemua wang itu dimasukkan secara beransur-ansur oleh mangsa kepada suspek melalui mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di daerah itu.

“Mangsa bagaimanapun sekali lagi diminta membuat bayaran yang dikatakan sebagai tunggakan kos guaman sebanyak RM2,000 sehinggalah dia menyedari dirinya sudah ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM15,000,” katanya.

Ahmad Azizul berkata, modus operandi sindiket berkenaan mengiklankan kemudahan pinjaman wang melalui laman sosial seperti Facebook dan risalah dengan menawarkan syarat pinjaman lebih mudah berbanding bank serta institusi kewangan lain.

“Syarat pinjaman mudah yang diberikan oleh sindiket ini menarik minat golongan awam terutama yang disenaraihitamkan oleh pihak bank dan memerlukan wang segera selain baki gaji yang kecil dalam penyata membatasi mereka untuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah.

“Polis menerima laporan berkait kes ini pada 10 Ogos lalu dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun, maksimum 10 tahun dan maksimum 10 sebatan serta boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Tambahnya, tahun ini sehingga tempoh 10 Ogos lalu, sebanyak 99 kes penipuan sindiket pinjaman wang tidak wujud direkodkan melibatkan jumlah kerugian RM791,000.

Tahun lalu, berlaku peningkatan sebanyak 59 kes atau 95.3 peratus daripada 64 kes dengan kerugian RM644,000 pada tahun 2017 berbanding 125 kes dan kerugian RM 851,000 direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun 2018.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia