Tiga pemimpin UMNO lompat parti disaman

Mustapa Mohamed, Ikmal Hisham Abdul Aziz, Hamzah Zainudin
Mustapa Mohamed, Ikmal Hisham Abdul Aziz, Hamzah Zainudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] UMNO memfailkan saman terhadap tiga bekas Ahli Parlimen parti itu iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi menuntut ganti rugi kerana didakwa melanggar kontrak, amanah dan mendapat kekayaan yang tidak sepatutnya.

Saman tersebut difailkan oleh Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) dan pegawai awam UMNO iaitu Datuk Sumali Reduan dan Datuk Seri Abu Khamis selaku plaintif sebagai melalui Tetuan Apandi Ali & Co, pada Selasa lalu.

Mustapa dan Ikmal Hisham memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di Kelantan manakala saman terhadap Hamzah ia difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Mustapa, Ikmal Hisham dan Hamzah masing-masing yang dinamakan sebagai defendan telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Melalui saman itu, kedua-dua plaintif mendakwa semua defendan mempunyai hubungan kontrak dengan UMNO apabila diterima menjadi ahli.

Mereka mendakwa, ketiga-tiga defendan telah dinamakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mewakili parti.

"Sebelum tarikh penamaan, semua defendan diberi bantuan kewangan dan juga bentuk bantuan lain antaranya ialah membiayai semua perbelanjaan untuk mempromosi mereka (defendan) serta membenarkan penggunaan jentera pilihan raya," dakwa plaintif melalui writ saman itu.

Malah menurut plaintif selepas dicalonkan untuk bertanding, plaintif memberi defendan bantuan kewangan RM200,000 untuk digunakan sebagai perbelanjaan bagi kempen PRU-14.

Artikel Berkaitan:

Selanjutnya, suatu terma tersirat termaktub antara plaintif dan defendan apabila mereka menang dan boleh memajukan agenda parti serta keperluan pengundi di kawasan masing-masing.

Tegas plaintif, tindakan defendan bersetuju bertanding mewakili plaintif mewujudkan ikatan kontrak di antara kedua-dua pihak.

Sebaliknya plaintif berkata selepas PRU-14, semua defendan mengumumkan melalui media untuk keluar dari UMNO dan sekaligus melanggar kontrak itu.

Sehubungan itu plaintif mendakwa mereka mengalami kerugian akibat daripada pelanggaran itu.

Plaintif menyatakan mereka telah menaruh harapan sah terhadap semua defendan untuk terus kekal setia bersama UMNO dan akan memajukan agenda mereka.

Plaintif juga mendakwa sebagai wakil rakyat dalam parlimen, defendan menikmati ganjaran gaji serta elaun dan kemudahan lain.

Namun demikian, plaintif mendakwa bantuan kewangan itu menjadi suatu pengkayaan tidak patut apabila defendan keluar daripada parti dan seterusnya mungkir janji dan melakukan pecah amanah.

Akibat pelanggaran kontrak, pelanggaran janji, pengayaan tidak patut dan pecah amanah yang dilakukan oleh semua defendan, plaintif mendakwa mengalami kerugian.

Plaintif mendakwa adalah parti politik terkenal dan berpengaruh, namun akibat perbuatan defendan, kredibiliti dan reputasi mereka rosak selain menyebabkan pengundi hilang keyakinan.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa mereka berhak mendapatkan ganti rugi dan pampasan di atas kelakuan semua defendan itu dan sekaligus bagi memberi pengajaran dan mencegah wakil rakyat lain untuk keluar dari UMNO sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian Mohd. Sumali dan Abu yang mewakili UMNO dan BN memohon deklarasi bahawa wujud kontrak antara mereka dan sudah dilanggar oleh Mustapa, Ikmal Hisham dan Hamzah.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa semua diperkayakan secara tidak patut, mendakwa wujud pecah amanah antara mereka serta memberi harapan yang tidak adil kepada parti.

Selain menuntut ganti rugi khas RM200,000 daripada setiap defendan, plaintif juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu sudah menetapkan 27 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi Mustapa dan Ikmal Hisham manakala bagi Hamzah ditetapkan untuk sebutan di hadapan Timbalan Pendaftar Normaizan Rahim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.