Industri sarung tangan getah sasar peroleh RM20 bilion

Gambar hiasan
A
A

INDUSTRI sarung tangan getah Malaysia memerlukan lebih ramai pekerja untuk meningkatkan pengeluarannya bagi mencapai sasaran RM20 bilion perolehan pada tahun ini berbanding RM17.5 bilion pada 2018.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low Jau Foo berkata, ketika ini industri itu mempunyai 40,000 hingga 42,000 pekerja dan memerlukan antara 12,000 ke 15,000 pekerja asing untuk menambah produktivitinya.

“Industri sarung tangan getah tempatan pada hari ini tidak bergerak pada kapasiti maksimumnya. Jika kita mempunyai lebih ramai pekerja, kita dapat meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira 10 peratus atau lebih daripada itu. Sekiranya pekerja mencukupi, kita mampu mencapai sasaran RM20 bilion,” katanya kepada Bernama.

Jau Foo berkata, persatuan itu telah mengemukakan isu kekurangan tenaga buruh kepada Menteri Industri Utama Teresa Kok yang berjanji untuk membawa perkara itu ke Kabinet.

“Kami berharap dapat membekalkan pekerja dari Nepal, Bangladesh dan negara lain yang boleh menyediakan pekerja berkualiti kepada industri,” kata Low.

Beliau menegaskan, kebanyakan pekerja asing dalam industri itu telah pulang ke negara masing-masing dan meninggalkan kekosongan jawatan yang perlu diisi.

“Seramai 12,000 hingga 15,000 pekerja asing yang kami (industri) perlukan adalah bagi mengisi kekosongan jawatan di kilang-kilang,” katanya dan menurutnya, walaupun industri itu mengguna pakai teknologi automasi, ia masih memerlukan pekerja tambahan bagi memastikan dapat beroperasi sepenuhnya.

Jau Foo berkata, industri berkenaan menyasar untuk mengeksport 195 bilion helai sarung tangan getah pada tahun ini, mewakili lebih daripada separuh daripada permintaan global sebanyak 300 bilion helai.

Pada 2018, industri tersebut membekalkan 160 bilion helai sarung tangan getah bernilai RM17.5 bilion perolehan kepada lebih 190 negara di dunia.

Jumlah eksport produk getah di Malaysia bernilai RM23.7 bilion pada tahun lepas dengan 80 peratus daripadanya disumbangkan oleh sarung tangan getah. - Bernama