Red Bull sasar kuasai 60 peratus industri minuman bertenaga

Saravoot (kiri) dan Lim Ee Young semasa Majlis Menandatangani Usahasama antara Kumpula Yee Lee dan Kumpulan TCP pada Selasa.
Saravoot (kiri) dan Lim Ee Young semasa Majlis Menandatangani Usahasama antara Kumpula Yee Lee dan Kumpulan TCP pada Selasa.
A
A
A

KUMPULAN Yee Lee (Yee Lee) dan Kumpulan TCP (TCP) membentuk kerjasama strategik bagi ‘Memperkasa Dunia Yang Lebih Baik Untuk Semua’ dengan minuman bertenaga, Red Bull.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TCP, Saravoot Yoovidhya berkata, usahasama strategik itu menyasarkan untuk menguasai kira-kira 60 peratus industri minuman bertenaga di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, sebagai permulaan, Yee Lee dan Kumpulan TCP akan menubuhkan pejabat di Malaysia yang memainkan peranan utama dalam mengukuhkan kedudukan Red Bull sebagai minuman bertenaga nombor satu di Malaysia.

Pada masa sama, jelasnya, ia adalah bagi menyokong pelancaran varian Red Bull baharu pada masa akan datang.

Tambah Saravoot, berdasarkan data pasaran semasa dan ramalan kategori, pendapatan dalam segmen minuman bertenaga di Malaysia dijangka mencecah RM500 juta menjelang 2027 dan dianggarkan berkembang kira-kira tujuh peratus setiap tahun.

"Usahasama strategik Kumpulan TCP dengan Yee Lee membawa satu tahap baharu amalan terbaik operasi dan pengurusan, keupayaan pemasaran serta pengedaran bertaraf dunia selain model pengurusan perhubungan pelanggan yang tiada tandingan kepada rakan kongsi perniagaan kami.

“Di samping itu, ia membolehkan kami memahami keperluan, tabiat dan pilihan pengguna tempatan, membawa yang terbaik dari Red Bull kepada rakyat Malaysia.

"Kedua-dua Kumpulan TCP dan Yee Lee kini bersedia untuk merevolusikan industri minuman dengan produk baharu dan pendekatan baharu sambil memainkan peranan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangai Usahasama antara Kumpulan Yee Lee Yee Lee dan Kumpulan TCP pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yee Lee, Lim Ee Young berkata, syarikatnya telah mula mengedarkan produk Red Bull di Malaysia sejak 2015 lagi.

Tambahnya, usahasama strategik itu adalah evolusi dalam hubungan kedua-dua syarikat itu yang mana kini bersama bagi memacu pertumbuhan jenama Red Bull untuk lebih jauh dan menetapkan penanda aras baharu untuk industri FMCG.

“Membuka pejabat Red Bull di Malaysia akan mengukuhkan hubungan dan penglibatan kami dengan rakan kongsi perniagaan, pengedar kecil dan peruncit kami.

"Kami mahu pasaran memahami bahawa Red Bull akan kekal dan berkembang seiring dengan persepsi positif bagi kategori minuman bertenaga," tambahnya.