Setiausaha Sulit Agong palsu didakwa menipu

Mohd Salimie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas tuduhan menipu.
Mohd Salimie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas tuduhan menipu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang peniaga gerai makan yang sebelum ini ditahan kerana menyamar sebagai Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas tuduhan menipu RM100,000 melibatkan proses pencairan dan pembekuan aset Istana Sarawak.

Mohd Salimie Baharudin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 26 tahun itu didakwa memperdayakan Yang Zuriaty Musa untuk menyerahkan RM100,000 secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh dan sebuah syarikat.

Ia bertujuan untuk mangsa mempercayai bahawa proses pencairan dan pembekuan aset Istana Sarawak di bawah seliaan Mohd Salimie akan memberi pulangan tiga kali ganda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Presint 10, Putrajaya, pada 1 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun penjara dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan jaminan RM40,000, namun tertuduh yang diwakili peguam, Noor Svetlana Nordin merayu jaminan rendah dibenarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Setiausaha Sulit Agong' ditahan tipu RM100,000

Artikel Berkaitan:

Shah Wira membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 8 Ogos lalu, polis menahan seorang lelaki yang mendakwa mempunyai gelaran Datuk Seri dan bekerja sebagai Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong serta Penasihat Istana Negara bagi membantu siasatan kes penipuan.

Turut ditahan pegawai kanan polis bantuan berpangkat Asisten Superintendan yang bertindak sebagai orang tengah dalam kes jenayah itu.

Taktik penipuan digunakan dua suspek adalah dengan mendesak mangsa melakukan pembayaran RM100,000 untuk menyelesaikan pembekuan aset Istana Sarawak bernilai RM1.8 juta dan dijanjikan pulangan yang lebih lumayan.