'Setiausaha Sulit Agong' ditahan tipu RM100,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki termasuk seorang ‘Datuk Seri’ palsu ditahan bagi membantu siasatan kes tipu RM100,000 terhadap seorang wanita.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata wanita berusia 30-an itu diperdaya suspek yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertuan Agong bergelar Datuk Seri.

"Suspek menawarkan mangsa aset istana bernilai RM1.8 juta namun meminta mangsa menyerahkan sejumlah wang bagi melepaskan aset tersebut yang didakwa telah terkandas di bahagian kastam.

"Akibat mempercayai suspek, wanita yang merupakan isteri kepada seorang ahli perniagaan itu membayar RM50,000 kepada kepada suspek dan selebihnya dibuat melalui transaksi bank ke beberapa akaun bank pada Khamis dan Jumaat lalu,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Merasa diri ditipu, suami mangsa membuat laporan polis, Selasa lepas dan susulan itu polis berjaya menahan dua lelaki iaitu suspek utamanya merupakan pemilik restoran berusia 26 tahun dan suspek kedua merupakan seorang polis bantuan berpangkat ASP yang berusia 31 tahun.

Roslan Bek berkata suspek utama ditahan di Temerloh, Pahang, hari ini pada jam 3.40 pagi manakala seorang lagi suspek ditangkap di Kajang, Selangor, semalam.

"Permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua suspek hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: