Dana endowmen: Malaysia jauh ketinggalan

Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin (kiri) menerima sumbangan daripada IQRAA oleh Pengarah Tajaan IQRAA, Dr Awad Al-Thubaity pada 2018.
Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin (kiri) menerima sumbangan daripada IQRAA oleh Pengarah Tajaan IQRAA, Dr Awad Al-Thubaity pada 2018.
A
A
A

KEWUJUDAN tabung atau dana endowmen dalam kalangan institusi pengajian tinggi terutamanya universiti awam di negara ini masih agak baharu walaupun telah diamalkan secara meluas selama berabad di luar negara.

Malah, di Malaysia ramai yang kurang memahami tabung endowmen dan wakaf ini yang kini menjadi salah satu sumber alternatif pembiayaan di universiti sama ada untuk membiayai operasi, penyelidikan dan sudah tentunya membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

Dengan beberapa universiti luar negara memiliki tabung endowmen mencecah nilai bilion, bagaimana pula di Malaysia?

Sejauh mana universiti awam di Malaysia menerokai dan menghidupkan budaya dana endowmen dan wakaf untuk kelangsungan pendidikan universiti dan anak bangsa?

Laporan Khas Sinar Harian minggu ini mengupas senario dana endowmen dan wakaf dalam kalangan universiti di tanah air.

Endowmen universiti Malaysia masih ketinggalan

Sewaktu mendapat surat melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Shafiq Baderol Shaferi, 22, termenung jauh memikirkan kemampuan keluarganya.

Anak kepada pesara tentera itu tahu yuran pengajian dan kos sara hidup di universiti bakal membebankan kedua ibu bapanya, apatah lagi beliau mempunyai enam adik beradik.

Namun, Mohamad Shafiq boleh menarik nafas lega selepas beliau terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan di bawah dana endowmen UIAM dikenali sebagai IIUM Endowment Fund (IEF).

Artikel Berkaitan:

Mohamad Syafiq berkata, beliau mendapat bantuan yuran pengajian, yuran hostel, yuran akademik dan bantuan sara hidup serta elaun buku sejak 2017 menerusi bantuan dana endowmen tersebut.

“Saya berasa bersyukur setelah ditemuduga oleh IEF, saya terpilih untuk menerima bantuan IEF menerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera Ummatic Scholarship yang diisediakan untuk pelajar kurang berkemampuan.

“Bantuan sara hidup saya terima setiap bulan sebanyak RM450, manakala elaun buku pada sebanyak RM250 setiap semester,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Hari ini tekanan dan kos sara hidup yang semakin meningkat naik menyebabkan dana endowmen dan wakaf di institusi pengajian tinggi terutamanya universiti awam di Malaysia semakin relevan.

Selain UIAM yang memiliki IEF, terbaru pada Julai lalu, Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) turut melancarkan Universiti Malaya Endowment Fund (UMEF).

Namun begitu, dengan konsep dana endowmen atau wakaf di institusi pengajian tinggi masih dianggap hijau, hakikatnya universiti di luar negara telah jauh ke depan.

Bayangkan dana endowmen Universiti Havard sahaja sudah mencatatkan sebanyak AS$38.3 bilion (RM161.11 bilion) manakala Universiti Stanford memilik sebanyak AS$26.46 bilion (RM111.30 bilion)

Timbalan Dekan (Pembangunan Program dan Hubungan Pelanggan) Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Aminah Md Yusof berkata, nilai endowmen Universiti Harvard sangat besar melebihi nilai diperuntukkan kepada seluruh universiti awam di Australia.

“Antara penyumbang bagi dana di Universiti Havard ini ialah Melinda Gates, David Rockfeller dan sumbangan terbanyak adalah daripada John A Paulson iaitu alumni yang menderma sebanyak AS$400 juta.

“Sekiranya mengikut kedudukan nilai dana endowmen tertinggi di dunia, Universiti Havard menduduki tempat pertama dengan nilai kira-kira AS$38.3 bilion, University of Texas System (AS$30 bilion) dan Universiti Yale (AS$29 bilion),” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Aminah berkata, seperti mana telah dilaporkan pada 2017, jumlah endowmen bagi 20 universiti awam di negara ini ialah sebanyak RM1.85 billion dengan endowmen tertinggi dicatatkan oleh Universiti Malaya iaitu sebanyak RM1.6 bilion dan kedua tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebanyak RM71 juta.

Menurutnya, nilai endowmen di universiti awam di negara ini masih lagi jauh ketinggalan memandangkan kutipan endowmen di negara ini masih boleh dianggap baharu.

“Alumni juga kurang menyumbang mungkin disebabkan faktor kewangan, selain rasa keberhutangan budi kepada universiti agak kurang kerana pelajar terpaksa menanggung hutang untuk membayar pendidikan mereka dan selepas tamat pengajian perlu membayar hutang pengajian.

“Selain itu, universiti di negara ini telah lama selesa bergantung kepada peruntukkan daripada kerajaan dan tidak nampak perlunya menampung diri sendiri sehinggalah peruntukkan dikurangkan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, di negara ini konsep penjanaan dana universiti melalui sistem wakaf telah ada.

“Keduanya (wakaf dan endowmen) pada dasarnya sama tetapi terdapat perbezaan ketara antara keduanya," katanya.

Penaung Persatuan Alumni Universiti Malaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) pada majlis pelancaran University Malaya Endowment Fund Julai lalu. Gambar kecil: Aminah
Penaung Persatuan Alumni Universiti Malaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) pada majlis pelancaran University Malaya Endowment Fund Julai lalu. Gambar kecil: Aminah

Sejarah endowmen

Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Razali Othman, konsep endowmen dan wakaf merupakan satu bentuk penjanaan dana yang boleh dilaksanakan di setiap universiti di negara ini.

"Namun dalam konteks wakaf, syarat bagi penyumbangnya adalah harta yang disumbangkan perlu mematuhi syarak manakala, dana endowmen pula tidak menitikberatkan sumber yang perlu mematuhi syarak," katanya.

Razali turut berkongsikan sejarah endowmen melalui kisah Perang Salib di Juruselam yang menjadi lokasi pertembungan dua budaya iaitu Islam dan Kristian.

"Bila sampai ke negara Islam masa tu wakaf sudah berkembang, apa-apa sahaja pemberian yang 'pokoknya' tidak boleh diusik. Yang kita boleh guna hasil daripada pokok prinsipalnya tadi. Katalah ada RM200,000 nak wakafkan, tidak boleh diusik sampai hari kiamat tapi yang boleh diambil adalah manfaat daripada dividen harta yang diwakafkan.

"Harta wakaf ini akan kekal sebagai pahala kita di hari akhirat. Jadi bila nampak konsep ini dia (orang Barat) bawa balik ke England dan tukar nama menjadi endowmen," katanya.

Pun begitu, di negara ini jumlah dana wakaf dan endowmen yang dikumpul oleh universiti awam negarai ini jauh ketinggalan berbanding apa yang dicatatkan di negara Barat.

Sebagai contohnya, di UPSI sejak 2006 hingga kini, sebanyak 12 dana endowmen telah ditubuhkan secara berperingkat-peringkat dan dana yang dikumpul hampir mencecah RM17 juta.