Isu pelanggaran hak privasi

A
A
A

APABILA bercakap mengenai hak privasi, apakah yang dimaksudkan sebagai ‘hak privasi’? Secara kasarnya, hak privasi adalah hak peribadi anda yang anda tidak mahu kongsikan atau dedahkan kepada orang lain.

Jika didedahkan tanpa kerelaan, berkemungkinan akan memberi impak negatif kepada diri anda seperti trauma dan tekanan mental.Pada dasarnya, Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang peruntukan spesifik mengenai hak privasi.

Namun, pada 2010, Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor [2010] 3 CLJ 507 telah memutuskan bahawa kebebasan diri (personal liberty) yang termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan turut termasuk hak privasi seseorang individu. Ini bermaksud, mahkamah di Malaysia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung mengiktiraf perlindungan hak privasi di Malaysia.

Walaupun Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), namun PDPA tidak digubal untuk melindungi hak privasi anda. Sebaliknya, PDPA digubal untuk lebih melindungi maklumat diri anda bagi tujuan komersial.

Sebagai contoh, jika anda dirakam secara sembunyi ketika berada di dalam kamar mandi, tiada tindakan perundangan yang boleh diambil di bawah PDPA. Namun, jika maklumat diri anda (seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon) telah dikongsikan kepada mana-mana syarikat lain seperti syarikat pengiklanan dan sebagainya, potensi untuk tindakan diambil di bawah PDPA mungkin ada.

Bersifat qiyas

Berbanding negara lain, Malaysia masih tidak mempunyai sebuah akta atau peruntukan undang-undang yang spesifik mengenai perlindungan hak privasi ini. Namun ini tidak bermaksud tiada tindakan yang boleh diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar hak privasi anda.

Sebagai contoh, kes yang pernah diperkatakan ramai suatu ketika dahulu, kes rumah Nasha Aziz telah diceroboh dan dipasang CCTV tanpa pengetahuan beliau. Tertuduh kemudiannya telah didakwa di bawah Seksyen 448 (menceroboh) dan Seksyen 509 (mengaibkan seseorang) Kanun Keseksaan (PP v Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom).

Walaupun begitu, pendakwaan berdasarkan peruntukan sedia ada dalam Kanun Keseksaan hari ini hanyalah bersifat qiyas. Pendakwaan yang dilakukan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan pada dasarnya hanya bersifat sipi-sipi dengan kesalahan melanggar hak privasi seseorang.

Artikel Berkaitan:

Jadi persoalannya, selain didakwa di bawah kes jenayah, bolehkah mangsa mengambil tindakan saman mahkamah terhadap orang yang melanggar hak privasi beliau? Jawapannya, sudah tentu!

Dalam kes Maslinda Ishak v Mohd Tahir Osman & Ors [2009] 6 CLJ 653, mahkamah telah membenarkan tuntutan ganti rugi terhadap defendan kerana pelanggaran hak privasi plaintif yang telah menyebabkan beliau hidup dalam rasa malu, trauma dan sengsara dengan tekanan mental. Dalam kes ini, plaintif (mangsa) telah diambil gambar oleh defendan ketika mangsa sedang membuang air kecil tanpa keizinan beliau.

Begitu juga dalam beberapa kes lain seperti kes Lee Ewe Poh v Dr Lim Teik Man [2010] 1 LNS 1162, apabila seorang doktor telah diarahkan untuk membayar ganti rugi bernilai RM25,000 dan kos bernilai RM10,000 kepada plaintif kerana telah merakam gambar kemaluan plaintif tanpa keizinan plaintif walaupun untuk tujuan rekod perubatan. Malah, mahkamah turut mengarahkan agar kad memori yang menyimpan gambar kemaluan plaintif dimusnahkan sepenuhnya. Merakam imej yang dianggap sebagai peribadi tanpa kebenaran walaupun untuk tujuan perubatan, telah dianggap sebagai pelanggaran hak privasi seseorang individu.

Dalam satu lagi kes, Lew Cher Phow & Ors v Pua Yong Yong & Anor [2009] 1 LNS 1256, tindakan memasang CCTV di kediaman sendiri tetapi dalam masa yang sama liputan CCTV tersebut turut merakam kawasan atau hartanah bukan milik sendiri (kediaman jiran) boleh dianggap sebagai pelanggaran hak privasi jiran tersebut.

Setelah sekian lama para peguam dan aktivis hak asasi menyeru agar pihak kerajaan menggubal satu undang-undang berkenaan pelanggaran hak privasi, namun sehingga kini masih tiada ura-ura yang menunjukkan undang-undang sebegitu akan digubal. Kita harus menggesa pihak kerajaan agar menggubal satu peruntukan undang-undang yang mapan dalam isu pelanggaran hak privasi agar rakyat sentiasa dilindungi oleh undang-undang dan pelanggaran hak privasi seseorang tidak diambil secara sambil lewa.