100,000 rakyat Malaysia bersatu pertahan tulisan jawi!

Gambar hiasan - Foto ZAHID IZZANI
Gambar hiasan - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen bagi mengharamkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Exco Armada, Muzzammil Ismail berkata, Dong Zong sangat keterlaluan dan menggugat perpaduan masyarakat kerana mengumpulkan badan bukan kerajaan (NGO) Cina membuat penentangan dengan mengatakan tulisan jawi ini merupakan satu usaha Islamisasi.

"Dengan ini Armada ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tanpa mengira ideologi politik dan fahaman untuk bersatu dalam mempertahankan tulisan jawi dan prinsip Kementerian Pendidikan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: PM anggap Dong Zong rasis

"Ayuh kita tandatangan petisyen di bawah demi menyatakan sokongan, menerusi pautan ini http://chng.it/XQWhJ4Qhq2," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muzzamil, sebelum ini Dong Zong lantang mendesak kerajaan terutama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kini menekan kerajaan menggunakan pelbagai tuntutan.

"Menggerakkan satu petisyen membantah tulisan jawi adalah suatu tindakan tersusun yang amat jahat dalam menggugat warisan Malaysia, kami rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong sebagai rasis apabila sering membantah setiap dasar pendidikan negara termasuk usaha memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat di sekolah.

Menurutnya, sebelum ini pertubuhan itu turut membantah penubuhan Sekolah Wawasan yang menghimpunkan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu, Sekolah Kebangsaan, Sekolag Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dalam satu kawasan.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, bantahan Dong Zong itu adalah disebabkan mereka enggan anak-anak mereka bercampur dengan orang Melayu.

"Dia tak suka orang Melayu, semua dia bantah. Tak pernah dia bersetuju dengan apa pun," katanya ketika mengulas mengenai dakwaan Dong Zong bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk Islamisasi.