Lelaki ditahan kes kebakaran di dua masjid

Kesan terbakar di hadapan pintu Masjid Kampung Rambai.
Kesan terbakar di hadapan pintu Masjid Kampung Rambai.
A
A
A

PENDANG - Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran permaidani di dua masjid sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki itu ditahan pada jam 12 tengah hari kira-kira tujuh jam selepas kejadian kebakaran di Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang di sini hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, permaidani dalam ruang solat di dua masjid terbabit disedari terbakar oleh anak kariah.

“Polis menerima laporan daripada jemaah Masjid Pendang yang melihat permaidani di pintu tepi masjid terbakar pada jam 5.15 pagi dan menghubungi bomba untuk memadam kebakaran manakala kebakaran di Masjid Kampung Rambai dipadamkan kariah masjid.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Pendang namun tidak berfungsi, Masjid Kampung Rambai pula tidak mempunyai CCTV,” katanya.

Anak kariah berjaya memadamkan api bagi mengelak merebak ke bahagian lain.
Anak kariah berjaya memadamkan api bagi mengelak merebak ke bahagian lain.

Beliau berkata, ada saksi memaklumkan dua lelaki menaiki motosikal memasuki kawasan masjid tetapi tidak dapat mengecam individu terbabit kerana melihat dari jarak jauh.

Sementara itu, imam Masjid Kampung Rambai, Ismail Yahaya, 69, berkata, dia dimaklumkan kejadian kebakaran oleh anak kariah yang datang ke rumahnya.

Artikel Berkaitan:

“Anak kariah saya sampai awal sekitar 5.10 pagi, dia berhentikan motosikal dan nampak api menjulang depan pintu masjid.

“Pintu masjid ini memang tidak berkunci untuk mudahkan jemaah atau pelawat datang tunaikan solat,” katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, dia bersama bapa saudaranya serta beberapa anak kariah yang tiba di masjid segera mengambil air untuk memadamkan kebakaran itu agar tidak merebak ke bahagian lain.

“Kami sama-sama padamkan api guna baldi ceduk air. Selepas api berjaya dipadamkan, saya hubungi bomba dan turut buat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Ismail berkata, pihak bomba memaklumkan terdapat botol berisi petrol dijumpai di hadapan pintu pagar hadapan masjid.

“Saya harap si pelaku dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.