'Jangan takut jadi saksi'

Mohd Khairul Azam
Mohd Khairul Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang melihat kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Bandar Baru Bangi, Sabtu lalu tidak perlu takut untuk tampil sebagai saksi.

Pengerusi Biro Aduan Awam dan Undang-undang Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sebaliknya saksi terlibat perlu mempunyai kesedaran untuk membantu menegakkan keadilan.

"Setiap kisah saksi ini umpama kepingan 'jigsaw puzzle' yang akan melengkapkan keseluruhan cerita. Jadi mereka perlu tampil membantu siasatan pihak polis.

"Cuba bayangkan jika kita pula alami situasi yang sama dan tiada saksi membantu, pasti sukar. Maka tidak salah untuk kita membantu memudahkan urusan orang lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, Biro Aduan Awam dan Undang-undang Putra sedia memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada saksi terlibat untuk membantu pihak polis.

"Mungkin ramai saksi di tempat kejadian melihat apa yang berlaku tetapi tidak tahu cara salurkan maklumat. Atau mungkin ada saksi berasa takut dan tidak biasa berurusan dengan polis.

"Maka, Putra mengambil inisiatif untuk membantu saksi memandangkan kes ini mendapat perhatian awam. Saksi boleh mendapatkan bimbingan kami dari segi cara nak buat laporan polis atau bantuan peguam jika diperlukan," katanya.

Mohd Khairul Azam yang juga seorang peguam berkata, berdasarkan pengalamannya, ramai saksi enggan tampil membantu kerana tidak mahu terlibat dalam perbicaraan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan ada banyak pelepasan diberikan kepada mereka yang menjadi saksi seperti cuti serta elaun kehadiran ke mahkamah. Jadi, kita harap kesedaran orang awam untuk salurkan maklumat ini akan bertambah," katanya.