Hentikan spekulasi, jangan pecah belah kaum majmuk

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

KOTA BHARU - Hentikan semua spekulasi yang boleh membawa kepada pertembungan sentimen perkauman ekoran kes pergaduhan yang membawa kematian seorang lelaki di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban semalam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua pihak dinasihatkan untuk tidak melakukan tindakan yang boleh memecahbelahkan antara kaum.

"Isu ini dilihat boleh membawa kepada satu cetusan perkauman yang besar sekiranya tidak dibendung daripada awal. Di dalam masa yang sama, saya mengharapkan agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang telus dengan seberapa segera.

"Kita yakin dengan segala bukti yang ada termasuklah kerjasama dari pihak PLUS Malaysia Berhad boleh membantu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang terperinci," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, laporan polis sebelah pihak yang ditularkan di media sosial tidak mencukupi untuk dijadikan asas pertimbangan pihak berkuasa.

Malah, pemimpin kerajaan termasuk menteri kabinet juga wajar memainkan peranan untuk menenangkan semua pihak agar tidak tergesa-gesa mendahului pihak berkuasa di dalam isu ini.

"Saya yakin sebagaimana kes kematian Teoh Beng Hock sepuluh tahun lepas pun dibuka semula siasatannya hasil desakan pemimpin kerajaan, sudah tentu di dalam isu ini pun pemimpin kerajaan mahu melihat keadilan ditegakkan.

"Kepada semua pihak, saya harapkan agar kita berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang suasana yang tidak harmoni di dalam negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Takziah setinggi-tingginya saya rakamkan kepada keluarga Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang menghadapi ujian ini di ambang Idul Adha. Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada keluarga Allahyarham terutama isteri dan anak kecilnya. Insya-ALLAH keadilan tetap akan ditegakkan," katanya.

Syed Muhammad Danial maut selepas didakwa terbabit dalam satu pergelutan akibat perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi, kelmarin.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut selepas selisih faham

Polis nafi lelaki maut disebabkan perkauman