‘Terpaksa berhentikan 65 pekerja, buka perniagaan lain’

Keadaan di persimpangan lampu isyarat yang lengang tanpa kehadiran penjaja.
Keadaan di persimpangan lampu isyarat yang lengang tanpa kehadiran penjaja.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha jeruk mengakui terpaksa memberhentikan 65 pekerjanya yang menjalankan perkhidmatan secara menjaja di persimpangan lampu isyarat susulan penguatkuasaan dan larangan dikeluarkan kerajaan negeri terhadap perniagaan itu.

Helmi Haffizuddin Suhaimi, 29, berkata, selain memberhentikan pekerja, dia juga terpaksa mengeluarkan modal untuk menjalankan perniagaan baharu.

“Walaupun berat hati, saya terpaksa memberhentikan 65 pekerja saya dan mengekalkan hanya lima pekerja, itu pun atas dasar mereka kakitangan yang lama bekerja dengan saya dan bersungguh-sungguh mahu bekerja.

“Memang berat hati lagipun pekerja-pekerja yang saya ambil tu memang individu yang memerlukan sumber pendapatan. Ada ibu tunggal, mereka yang baru tamat belajar dan golongan belia.

“Tapi saya terpaksa, dah itu yang kerajaan nak. Kita tak boleh nak kata apa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Antara penjaja yang mencari rezeki di persimpangan lampu isyarat.
Antara penjaja yang mencari rezeki di persimpangan lampu isyarat.

Katanya, larangan menjalankan perniagaan di persimpangan lampu isyarat telah menjejaskan sumber pendapatan ejen yang memasarkan serta tenaga kerja di bahagian penyediaan bahan.

“Pengharaman itu seolah-olah menghukum mereka yang bersusah payah mencari rezeki yang halal.

Artikel Berkaitan:

"Kalau betul pun tindakan diambil berdasarkan undang-undang, sekurang-kurangnya carilah solusi yang baik untuk ramai lagi yang tiada pekerjaan ketika ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Terengganu memutuskan untuk menghentikan serta-merta sebarang aktiviti perniagaan jalanan yang lazimnya tertumpu di persimpangan-persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri.

Keputusan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menerusi satu sidang media 8 Ogos lalu.

Katanya, larangan itu dibuat kerana ia menyalahi undang-undang Persekutuan di bawah akta dan Peraturan Lalu-Lintas 1959.

Mengulas lanjut, Mohd. Nurkhuzaini berkata, setakat ini pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan 40 kompaun ke atas penjaja terbabit dan merampas 205 balang berisi jeruk daripada mereka yang terlibat dalam aktiviti perniagaan itu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati tiada peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di persimpangan lampu isyarat.