Maut dirempuh kereta dipercayai langgar lampu isyarat merah

Keadaan motosikal ditungganginya mangsa dirempuh Perodua Viva yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Cherang, Jalan Dusun Raja, Kota Bharu pada Sabtu.
Keadaan motosikal ditungganginya mangsa dirempuh Perodua Viva yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Cherang, Jalan Dusun Raja, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian di Cherang, Jalan Dusun Raja di sini pada Sabtu.

Kemalangan jam 10.30 pagi itu telah menyebabkan mangsa yang berusia 20 tahun maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah pasar raya di Pengkalan Chepa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Lundang menghala ke bulatan Chempaka.

"Setiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai telah dilanggar sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai tidak berhenti semasa lampu isyarat merah dari arah Berek 12.

"Akibat dari rempuhan terbabit mangsa telah terjatuh di atas jalan dan kemudian terlanggar dengan sebuah motosikal lain jenis Honda yang sedang menunggu lampu isyarat di arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, bagaimanapun pemandu kereta dan penunggang motosikal Honda yang berada di arah bertentangan tidak mengalami kecederaan.

Ujarnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Rosdi memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi talian 09-7752355.