ISTS lonjak nama JPS Kuala Langat di peringkat antarabangsa

Reka bentuk ISTS ini terdiri daripada bilah pengasingan yang di pasang pada kedudukan 45 darjah dan komponen ISTS dibahagi kepada tiga bahagian.
Reka bentuk ISTS ini terdiri daripada bilah pengasingan yang di pasang pada kedudukan 45 darjah dan komponen ISTS dibahagi kepada tiga bahagian.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sekumpulan lima kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Langat berjaya mengharumkan nama jabatan itu di peringkat antarabangsa apabila berjaya membangunkan projek inovasi perangkap sampah.

Ketua projek, Muhamad Irwan Abd Ghafar berkata, projek inovasi tersebut tercetus selepas menerima aduan penduduk mengenai sampah yang tersangkut diperangkap sampah dalam saliran seterusnya mengakibatkan banjir kilat.

Menurutnya, walaupun idea ciptaan inovasi yang dihasilkan sekumpulan kakitangan JPS Daerah Kuala Langat itu nampak mudah namun fungsinya sangat besar dan memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

"Perangkap sampah yang ini dipasang di Telok Datok, Banting bertujuan menghalang sampah sarap hanyut ke sungai bagi mengelakkan pencemaran pada sumber air utama negara.

"Hasil inovasi ini berjaya merangkul pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan malah antarabangsa seperti International Invention Innovation & Technology Exhibition (ITEX) dan pernah dinobatkan dalam kategori Best Innovation Award," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Perangkap sampah ini dipasang di Telok Datok, Banting. Inovasi ini diluluskan Ketua Jabatan, Raja Redzuan Shah Raja Iskandar Shah sebelum diberi nama sebagai ISTS.
Perangkap sampah ini dipasang di Telok Datok, Banting. Inovasi ini diluluskan Ketua Jabatan, Raja Redzuan Shah Raja Iskandar Shah sebelum diberi nama sebagai ISTS.

Beliau menambah, pasukan inovasi tersebut ditubuhkan sejak 2008 manakala inovasi itu sebelum ini telah diluluskan Ketua Jabatan, Raja Redzuan Shah Raja Iskandar Shah serta diberi nama ISTS.

"Reka bentuk ISTS ini terdiri daripada bilah pengasingan yang di pasang pada kedudukan 45 darjah dan komponen ISTS dibahagi kepada tiga bahagian bagi memudahkan pemasangan di tapak tanpa memerlukan pembinaan struktur lain.

"Anggaran berat ISTS ialah 45 kilogram satu set dan amat praktikal kerana reka bentuk yang ringkas dan mudah, proses pembinaan dan pemasangan yang cepat terutama di kawasan yang kritikal," katanya.

Beliau menambah, ISTS diperbuat daripada besi galvani yang boleh tahan cuaca mahu pun di dalam air.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Amirruddin Mohd Yusop pula berkata, ISTS adalah hasil inovasi sistem perangkap sampah bagi meningkatkan fungsi dan kaedah pemasangan perangkap sampah secara 'retrofitting yang boleh dipasang pada pelbagai saiz parit atau saliran tanpa melibatkan pembinaan struktur di tapak.

Menurut, inovasi itu tidak menjejaskan fungsi utama atau fungsi asal iaitu pengasingan sampah sarap secara alami dan efisien melalui pergerakan aliran air secara 'vortex' di mana sampah sarap akan terasing pada zon pengumpulan sampah tanpa menghalang aliran air yang kebiasaannya mengakibatkan banjir.

"Saya menjangkakan kerugian kos akibat banjir dapat dikurangkan serta pencemaran sungai dapat dikawal sebaiknya serta dapat menjimat kos penyelenggaraan," katanya.

Ujarnya lagi, dia bersama pasukan sentiasa komited dalam usaha menyelesaikan isu setempat dengan inovasi-inovasi yang dihasilkan.