Pengajaran kes jemaah haji terkandas

Gambar hiasan
A
A

SEMALAM, beberapa muka depan akhbar tempatan memaparkan kisah sedih tentang 26 jemaah haji Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah sejak Isnin lalu kerana visa haji Furada yang dimiliki adalah palsu.

Susulan itu, mereka bukan sahaja kerugian antara RM30,000 hingga RM50,000 setiap seorang malah impian menunaikan Rukun Islam kelima juga hancur berkecai! Rombongan mereka yang diuruskan oleh sebuah syarikat pelancongan gagal melepasi sekatan imigresen di Arab Saudi.

Ekoran itu, mereka terpaksa berkampung di lapangan terbang berkenaan sementara menunggu syarikat pelancongan yang bertanggungjawab membawa mereka pulang kembali ke tanah air.

Salah seorang jemaah mendakwa perkara tersebut diketahui selepas imigresen di negara berkenaan memberitahu wajah mereka berbeza dengan wajah yang tertera di visa masing-masing.

Malah, maklumat peribadi yang tertera juga berbeza sehingga menimbulkan keraguan kepada pegawai yang bertugas.

Lebih malang lagi visa yang dimohon mereka bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia.

Mujur syarikat yang menguruskan jemaah haji berkenaan tidak lepas tangan, malah sedia berada bersama menemani kesedihan jemaah yang menjadi mangsa.

Sukar dibayangkan bagaimana rasa hati para jemaah berkenaan? Hanya ALLAH yang mengetahuinya... semoga Ar Rahman menerima niat mereka untuk menunaikan ibadah haji.

Dalam hal ini, tidak tahu siapa sebenarnya yang bersalah? Kes masih lagi dalam siasatan kerana punca berlakunya masalah tersebut belum lagi dikenal pasti. Malah, pihak syarikat yang bertanggungjawab menguruskan jemaah berkenaan juga terperanjat dengan kejadian tersebut.

Pemiliknya berkata, kejadian itu merupakan yang pertama kali berlaku sepanjang mereka menguruskan jemaah haji.

Justeru, rakyat Malaysia yang ingin menunaikan haji dinasihatkan supaya mengikut saluran disediakan kerajaan iaitu melalui Tabung Haji. Tujuannya adalah supaya perkara yang tidak diingini seperti ini dapat dielakkan.

Walaupun terpaksa menunggu sedikit lama, namun niat menunaikan rukun Islam kelima itu terjamin. Insya-ALLAH.