Jemaah haji Malaysia masuki Makkah mulai Jumaat

A
A
A

MAKKAH - Jemaah haji Malaysia akan mula memasuki Makkah secara berperingkat pada Jumaat melibatkan kumpulan KT1 dan KT2 seramai 565 orang.

Pengarah Operasi Maktab, Mohd Sawal Abong berkata, bagi menyambut ketibaan jemaah terlibat, pihaknya sudah bersiap sedia dari segi penginapan dan kebajikan jemaah.

Terdapat empat zon melibatkan sembilan buah maktab yang ditempatkan di 12 buah hotel iaitu Zon A Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Masat Al Badaya.

Zon B pula terdiri daripada Zwar Al Bait, Jawharat Al Bait dan Al Fajer Al Badaya 2 dan Zon C melibatkan hotel Diary Al Saad dan Rehab Al Janadriyah.

Bagi Zon D melibatkan hotel Land Premium, Al Fajr Al Badee 5, Manar Al Shorouq dan Rawdhat Al Shorouq.

Katanya, semua penginapan jemaah tidak melebihi jarak 1 kilometer daripada dataran Masjidilharam.

Tambahnya, di setiap bangunan penginapan juga terdapat pelbagai kemudahan untuk jemaah seperti klinik kesihatan, urusan pengeposan, dobi, kafe, bimbingan ibadah dan macam-macam lagi.

"Bagi jemaah yang datang berkeluarga kita sudah susun penempatan agar berada hampir antara satu sama lain supaya memudahkan pergerakan mereka nanti.

"Kita telah kenal pasti jemaah yang uzur untuk diberikan bantuan sewajarnya oleh petugas-petugas yang terlibat," katanya kepada media Malaysia pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Sawal berkata, selepas sambutan jemaah pada Jumaat mereka akan dibawa ke bilik masing-masing, disediakan jamuan dan kemudiannya akan dibawa menunaikan umrah pertama mereka.

"Semasa sesi ke Masjidilharam jemaah juga akan diiringi Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi memudahkan jemaah untuk bertanyakan secara terus sebarang kemusykilan ibadah masing-masing," katanya.

Sementara itu, bagi memudahkan urusan tiket penerbangan balik dan sebagainya, pihak Tabung Haji kini telah menguruskan sendiri urusan itu di Ibu Pejabat Abraz Al Janadriyah.