RKK Janda Baik: Kerajaan Pahang ambil maklum bantahan penduduk

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Bantahan penduduk Kampung Janda Baik ke atas Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) kampung itu kini dalam perhatian kerajaan Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sebelum ini memberi tempoh sebulan kepada penduduk untuk membuat bantahan dan mengemukakan maklum balas terhadap draf itu.

"Setakat ini kira-kira 800 bantahan dan maklum balas telah diterima PlanMalaysia@Pahang serta Majlis Perbandaran Bentong (MPB), dalam tempoh semakan dan bantahan Publisiti Draf Rancangan tersebut selama sebulan bermula 1 hingga 31 Julai lepas.

"Setelah tamatnya tempoh semakan dan bantahan pada 31 Julai, sebuah Jawatankuasa Siasatan dan Bantahan Awam yang dianggotai PlanMalaysia@Pahang dan MPB akan bermesyuarat bagi meneliti setiap satu bantahan dan maklum balas berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Wan Rosdy berkata, Jawatankuasa Siasatan dan Bantahan itu akan mengkaji secara terperinci setiap bantahan dan maklum balas yang dikemukakan sebelum membentangkannya dalam Jawatankuasa Perancang Negeri.

"Saya yakin keputusan yang akan diambil nanti memberi manfaat kepada semua. Oleh itu saya berharap penduduk Kampung Janda Baik dapat bersabar.

"Tempoh semakan dan bantahan selama sebulan ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa mahu mendapat penglibatan penduduk terhadap apa juga usaha kerajaan demi membangunkan satu-satu kawasan.

"Bantahan mereka sepertimana dilaporkan oleh akhbar tempatan memang dalam perhatian kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Draf RKK bertujuan mengubah kampung tradisional itu kepada produk ekopelancongan bertaraf antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Janda Baik bantah RKK