Haiwan import korban dikuarantin 28 hari elak FMD

Dari kanan: Lily, Tze Tzin dan Saiful Yazan ketika meninjau keadaan lembu-lembu yang dikuarantin sementara di Bukit Kayu Hitam.
Dari kanan: Lily, Tze Tzin dan Saiful Yazan ketika meninjau keadaan lembu-lembu yang dikuarantin sementara di Bukit Kayu Hitam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Semua haiwan import bagi tujuan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha perlu melalui proses kuarantin selama 28 hari bagi memastikan bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, perkara tersebut dilakukan bagi memastikan tiada sebarang penularan wabak penyakit dari luar masuk ke negara ini.

Menurutnya, haiwan seperti lembu, kerbau dan kambing akan dikuarantin selama 14 hari di negara asal dan sekali lagi akan dikuarantin selama 14 hari di negara ini di pusat kuarantin sementara bagi memastikan semua haiwan tersebut bebas daripada FMD.

"Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sebelum ini telah menyatakan bahawa kita membawa masuk lembu import untuk tujuan ibadah korban Hari Raya Aidiladha iaitu tiga bulan lebih awal.

"Jika ada haiwan untuk tujuan korban yang dikesan adanya tanda-tanda penyakit FMD, maka haiwan itu akan dikuarantin hinggalah ia disahkan bebas daripada FMD oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum ia diedarkan ke pihak-pihak yang berkaitan," katanya pada sidang media selepas lawatannya ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini hari ini.

Tze Tzin (kanan) melihat lidah seekor lembu yang dikuarantin sementara di sebuah pusat kuarantin di Bukit Kayu Hitam.
Tze Tzin (kanan) melihat lidah seekor lembu yang dikuarantin sementara di sebuah pusat kuarantin di Bukit Kayu Hitam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi dan Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind.

Tze Tzin berkata, bagi laluan pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam sahaja, sebanyak 7,520 ekor lembu dibawa masuk dari negara jiran sejak Mei sehingga Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara supaya tidak membawa masuk barangan seperti tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah mahupun mikroorganisma melainkan dengan permit daripada Maqis.

Dari kanan; Lily, Tze Tzin dan Saiful Yazan menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas Maqis di ICQS Bukit Kayu Hitam.
Dari kanan; Lily, Tze Tzin dan Saiful Yazan menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas Maqis di ICQS Bukit Kayu Hitam.

Dalam perkembangan lain, Tze Tzin berkata, Maqis turut melarang import sementara ke atas babi dan produk babi dari negara seperti China, Vietnam, Kemboja, Laos, Poland dan Belgium bagi mengelakkan penularan penyakit African Swine Fever (AFS) yang menyebabkan kematian hampir 100 peratus babi dan babi liar.

"Statistik jumlah rampasan dan tahanan bagi produk babi sepanjang tahun 2019 (Januari-Julai) adalah berjumlah 2,001.5 kilogram daging babi manakala untuk produk babi pula berjumlah 1,910.47 kilogram," katanya.