Perlu pastikan proses lantikan Ahli SPR telus, terbuka - Bersih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan proses yang telus, terbuka dan berakauntabiliti bagi pencalonan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan bantuan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Menurut gabungan tersebut, meskipun secara perlembagaan, pelantikan itu dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun pencalonannya itu dibuat oleh Perdana Menteri.

“Bersih ingin menyoroti bahawa selaku penjaga proses pilihan raya, SPR adalah badan berperlembagaan yang terpenting tetapi untuk masa-masa selepas tahun 1967, mereka tidak menunjukkan tahap kebebasan, keadilan dan integriti yang diharapkan.

‘Satu isu fundamental adalah isu pelantikan pesuruhjaya daripada penjawat awam kanan yang telah pencen dan semuanya lelaki sehingga 2018 serta yang lebih terbiasa untuk menerima arahan daripada ahli politik berbanding berdiri dengan tuntutan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Bersih, terdapat tiga manfaat besar diperolehi jika Anwar berjaya menunaikan janji tersebut termasuk meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan penting, keyakinan dan keabsahan lebih jitu terhadap SPR serta peranan yang lebih bermakna oleh Parlimen bagi memeriksa pelantikan jawatan penting

“Anwar perlu mengambil peluang ini untuk menunjukkan iltizam beliau bagi memperkukuhkan keupayaan dan kredibiliti SPR dengan melibatkan JPKP dalam pelantikan Ahli daripada Sabah.

“JPKP dijangka akan memilih pengerusi mereka dan memulakan tugas dalam mesyuarat Parlimen kali ini (22 Mei – 15 Jun),” jelasnya.

Bersih pada masa yang sama mengalu-alukan pelantikan Datuk Dr Lee Bee Phang sebagai ahli SPR, selepas tugas yang cemerlang di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapat ijazah doktor falsafah daripada Universiti Malaya dalam bidang ‘Jenayah Juvana’ pada tahun 2010.