TH sasar 10,000 penyertaan ibadah korban di Tanah Suci

Shamsul Bahar menunjukkan aplikasi THIjari yang boleh digunakan untuk membayar dam dan penyertaan korban.
Shamsul Bahar menunjukkan aplikasi THIjari yang boleh digunakan untuk membayar dam dan penyertaan korban.
A
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan penyertaan kira-kira 10,000 jemaah haji dan umat Islam di Malaysia untuk melakukan ibadah korban di Tanah Suci pada tahun ini.

Pengarah Operasi Kewangannya, Shamsul Bahar Shamsudin berkata, berbanding tahun lalu, jumlah peserta korban adalah sekitar 4,500 orang kerana pada waktu itu kuota haji adalah separuh daripada jumlah semasa.

Katanya, pada tahun ini bayaran untuk korban seekor qibas ialah RM900 dan bayaran boleh dibuat melalui aplikasi Thijari ataupun di mana-mana kaunter TH di Malaysia.

No Image Caption

Kata beliau, semua urusan korban akan dilakukan dengan kerjasama Islamic Development Bank (IDB) dan daging tersebut akan diagihkan di Tanah Suci serta 25 negara lain.

Antara negara terlibat ialah Palestin, Jordan, Syria, Iraq dan negara Afrika serta Asia seperti Mali, Ghana, Senegal, Bangladesh dan Azerbaijan.

“Setakat ini kita sudah terima 6,500 permohonan ibadah korban yang mula dibuka pada pertengahan Mei lalu dan tarikh akhir penyertaan sehingga 6 Zulhijjah atau 24 Jun depan,” katanya pada sidang media di Abraz Al Janadriyah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai kemudahan berkaitan kewangan yang disediakan TH di Tanah Suci, Shamsul Bahar berkata, pihaknya mempunyai 11 petugas di Makkah dan Madinah bagi memastikan kelancaran operasi haji.

Kata beliau, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan untuk bayaran dam (denda) dan khidmat pengeluaran wang melibatkan kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

“Ini tahun kedua tiada kaunter kewangan yang mana jemaah sudah tahu bahawa pengeluaran wang boleh dilakukan melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) dan bayaran tanpa tunai.

“Khidmat ini memang memudahkan jemaah tetapi pada masa sama kita harap mereka semua dapat mengatur perbelanjaan masing-masing supaya urusan di sini lebih lancar,”katanya.