Penuntut Zimbabwe disamun, cuba diculik sekumpulan penjenayah

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis menahan sekumpulan penjenayah yang melarikan seorang penuntut kolej swasta warganegara Zimbabwe tidak sampai 24 jam selepas kejadian berlaku di SS 14/4, kelmarin.

Tangkapan dilakukan selepas suspek melarikan mangsa berusia 25 tahun itu dengan menaiki sebuah kereta Proton Inspira berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian itu diketahui selepas menerima maklumat mengenai kes samun berkumpulan melibatkan empat lelaki bersenjatakan spanar pembuka tayar pada jam 3.45 pagi.

"Selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima maklumat, anggota yang menaiki dua unit kereta peronda (MPV) mengesan kedudukan suspek dan terserempak kereta digunakan kumpulan penjenayah terbabit.

"Kedua-dua MPV mengejar suspek dari SS 14/4, Subang Jaya hingga Mid Valley, Kuala Lumpur namun suspek dapat meloloskan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutya, mangsa yang tidak cedera ditinggalkan di tepi Jalan Tamarind, Taman Selatan Klang kira-kira jam 5.30 pagi, namun suspek sempat mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM26.

"Cawangan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya

dengan kerjasama Bahagian Operasi Khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menahan suspek terlibat di dua lokasi berasingan diTaman Bayu Tinggi dan Jalan Teluk Pulai, Klang.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan pertama menahan empat suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an. Polis merampas sebuah kereta Proton Inspira, telefon bimbit, beg silang dan spanar dipercayai digunakan untuk kegiatan samun," katanya.

Risikin bekata, tangkapan kedua dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi disebuah rumah melibatkan dua lelaki berusia 19 dan 26 tahun yang dipercayai turut terlibat kes itu," katanya.

"Empat daripada semua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 394, 148, 420, 182, 380 dan 379 Kanun Keseksaan.

"Suspek turut mempunyai rekod di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan suspek terlibat dalam kes dan kesemuanya direman hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut," katanya.