Jalur Gemilang berwarna hitam undang kemarahan netizen

Tangkap layar tokoh perniagaan bergelar Tan Sri yang menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam di laman Facebooknya mengundang reaksi negatif. - Foto sumber internet
Tangkap layar tokoh perniagaan bergelar Tan Sri yang menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam di laman Facebooknya mengundang reaksi negatif. - Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri mendapat reaksi negatif daripada netizen apabila bertindak menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam berhubung isu pengenalan tulisan khat.

Lelaki yang terlibat dengan perniagaan industri pembinaan itu telah menaikkan sekeping foto yang menunjukkan jalur warna putih pada Jalur Gemilang ditukarkan kepada warna hitam di laman Facebooknya semalam.

Perbuatan tersebut kononnya mahu menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera itu sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam.

Bagaimanapun, berdasarkan carian yang dibuat oleh Sinar Harian mendapati hantaran tersebut telah dipadamkan namun tulisan berhubung isu tersebut masih boleh dibaca di laman webnya.

Menerusi tulisan tersebut, lelaki berkenaan turut memuat naik semula gambar Jalur Gemilang yang asal.

Menurut tulisan tersebut, individu berkenaan telah menolak supaya tulisan khat tidak diwajibkan bagi di sekolah vernakular.

"Saya akan belajar khat sebagai hobi dan mengalu-alukan khat sebagai satu seni tetapi tidak menjadikannya wajib!

"Jangan perkenalkan jawi sebagai mata pelajaran wajib. Sebarang bentuk seni tidak seharusnya jadi wajib, wajib bererti satu arahan dan peraturan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan pendekatan yang betul terhadap sesuatu yang sudah baik. Sesuatu yang baik tidak perlu kewajipan dan peraturan.

"Jika pendekatan salah maka keputusan akhirnya nanti akan jadi berbeza, ini sesuatu yang ahli politik perlu belajar," katanya.

Jelas individu itu, janji Pakatan Harapan (PH) ialah untuk menyelamatkan negara sehingga rakyat mempercayai mereka dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan harapan untuk perubahan.

"Sedih selepas setahun PH memerintah, mereka kini berpecah kerana bendera parti lebih penting daripada bendera negara.

"Mereka memilih untuk mengibarkan bendera parti dulu dan Jalur Gemilang kedua," ujarnya.

Dia turut mengingatkan bahawa PH kini sudah menjadi kerajaan dan menggunakan duit pembayar cukai untuk tempoh satu penggal.

"Tetapi melihat bagaimana PH mengendalikan kerajaan, mereka mungkin tidak akan dapat bertahan untuk satu penggal jika bendera parti lebih penting daripada bendera negara," katanya.