Kebakaran tahfiz: Tertuduh simpan pemetik api dalam bilik tidur

Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes dua remaja yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dua tahun lepas, bahawa seorang daripada remaja terbabit menyimpan pemetik api yang digunakan semasa kejadian kebakaran di pusat tahfiz berkenaan di dalam bilik tidur rumahnya.

Seorang perisik di Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Superintendan Mohd Shafizan Sazali berkata perkara itu diberitahu remaja terbabit semasa beliau bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menyoal siasatnya di Balai Polis Pantai pada 17 September, 2017, pukul 5.30 petang.

Tertuduh terbabit berkata "Tuan, pemetik api yang digunakan semasa kejadian saya telah simpan di atas meja kecil di dalam bilik tidur di rumah saya. Pemetik api tersebut jenama cricket berwarna merah. Saya boleh tunjukkan tempat di mana pemetik api tersebut disimpan”.

Perkara itu dinyatakan Mohd Shafizan yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Operasi Jenayah di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sejak 1 April 2014 hingga 15 Jan 2019, semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pada perbicaraan kes itu di sini hari ini.

Saksi pendakwaan ke-66 itu berkata beliau kemudian pergi ke rumah remaja terbabit di Kampung Datuk Keramat dan dia menunjukkan satu pemetik api jenama cricket berwarna oren yang berada di atas katil yang digunakan semasa kejadian itu.

Mohd Shafizan kemudian bersetuju dengan peguam Haijan Omar, yang mewakili kedua-dua tertuduh, bahawa tempat dan warna pemetik api yang dijumpai di bilik tidur di dalam rumah suspek berkenaan berbeza dengan kenyataan suspek semasa disoal siasat.

"Tertuduh beritahu (semasa soal siasat) bahawa pemetik api warna merah di simpan atas meja kecil di dalam bilik tidur, namun ia berbeza yang mana pemetik api berwarna oren dijumpai atas katil," soal Haijan dan Mohd Shafizan menjawab: "setuju”.

Disoal Julia semasa pemeriksaan semula mengapa pemetik api yang dijumpai berbeza dengan apa yang dimaklumkan (semasa soal siasat), Mohd Shafizan menjawab: "Terdapat pemetik api lain tetapi yang dirampas hanya yang ditunjuk kepada saya.

Artikel Berkaitan:

Julia: Adakah kamu tahu kedatangan polis ke rumah berkenaan (rumah suspek) sehari sebelum awak pergi ke rumah itu.

Mohd Shafizan: tak tahu.

Julia: Peguam ada cadangkan bahawa tanpa ditunjuk oleh tertuduh, mungkin polis jumpa pemetik api yang berada di dalam bilik tersebut kerana katil dan meja kecil di dalam bilik itu tidak terlindung, boleh kamu jelaskan mengenainya?

Mohd Shafizan: Seperti yang saya katakan ada pemetik api yang lain dalam bilik itu, tanpa dipandu (tunjuk) tertuduh kita tak tahu yang mana satu (pemetik api).

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. -Bernama