'Hentikan polemik isu tulisan jawi'

mingh
mingh
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa seluruh rakyat Malaysia dapat mengeratkan perpaduan antara kaum dan menghentikan segala prasangka berhubung polemik isu tulisan jawi.

Ketua penerangannya, Nik Marhalim Mohd Bakri berkata, pelaksanaan pendidikan seni khat jawi dilihat tidak akan menghalang pengamalan budaya kaum lain di negara ini malah ia dapat memupuk semangat kekitaan sebagai bangsa Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan itu juga selari dengan perjuangan Ikatan yang sentiasa memupuk perpaduan kaum di samping melahirkan semangat kekeluargaan dan keharmonian antara satu sama lain.

"Janganlah isu ini dijadikan sebagai pemecah belah perpaduan bangsa dan rakyat Malaysia seharusnya menunjukkan keikhlasan perpaduan dengan menyokong segala agenda yang membentuk identiti bangsa Malaysia.

"Seni khat jawi bukannya milik kaum Melayu sahaja tapi milik manusia sejagat dan dipelajari di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan dalam kenyataan menegaskan bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadualkan.

Malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga memaklumkan penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan berikutan kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nik Marhalim berkata, Ikatan turut menyambut baik keputusan perdana menteri itu yang bertujuan bagi menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam mewarisi budaya seni di negara ini.

"Kita rakyat Malaysia hidup di bawah satu bumbung daripada pelbagai kaum dan menghormati budaya satu sama lain.

"Kembalikan semangat perpaduan warisan nenek moyang kita di mana mereka juga membaca surat khabar jawi, berkongsi maklumat pelbagai kaum, papan papan tanda perniagaan milik kaum Cina dan India juga berbahasa jawi.

"Diharap budaya ini terus diperkasakan demi kelangsungan seni budaya rakyat Malaysia," katanya.