Kenyataan PFAM tak bertanggungjawab: FAM

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kelmarin berkaitan tunggakan gaji pemain berjumlah RM6.4 juta sebagai tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kenyataan menerusi Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail itu tidak adil dalam menjelaskan mengenai keadaan sebenar isu tunggakan gaji sesetengah pasukan.

“Sekalipun FAM menyanjung tinggi usaha PFAM dalam membela nasib ahli mereka (para pemain), kami sebagai badan induk bola sepak tempatan tidak teragak-agak untuk menilai semula kerjasama dengan PFAM andai segala usaha berterusan daripada pasukan-pasukan, persatuan negeri dan juga FAM ini tidak dianggap positif oleh mereka.

“Bagi FAM, kita semua tidak hanya boleh menilai isu tunggakan gaji ini dengan angka RM6.4 juta kerana PFAM sendiri tidak memberikan makluman terkini kepada FAM jumlah sebenar pembayaran yang telah diterima daripada kes-kes FAM yang di bawah kendalian PFAM, sama ada ia telah dibayar secara penuh atau sebahagian oleh pasukan yang terlibat,” kata Stuart dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin, PFAM dalam satu kenyataan kepada pihak media mendedahkan sebanyak RM6.4 juta gaji pemain masih tertunggak dan belum dibayar oleh beberapa pasukan terlibat.

Justeru, Stuart tampil membidas kenyataan itu yang disifatkannya bukan cara terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Mengenai tuduhan terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), rekod FAM mendapati bahawa PBNS tiada sebarang kes sama ada dengan FAM atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pula tidak mempunyai sebarang kes dengan FAM berhubung tunggakan gaji pemain, cuma satu kes yang dibawa ke FIFA. Namun, pembayaran tunggakan gaji itu sudah diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), hanya tiga kes tunggakan gaji yang masih belum selesai dan menanti keputusan. Ia kes FAM membabitkan G Puaneswaran serta dua kes FIFA membabitkan Tiago Gomes dan Lee Chang-hoon. Satu lagi kes FIFA membabitkan Omid Nazari telah mencapai persetujuan pembayarannya,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memaklumkan kepada FAM bahawa mereka sudah membayar tunggakan gaji pemain bagi tahun 2018 pada Februari lalu.

“Mereka (PDRM) telah berbincang dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkenaan penyelesaian tunggakan gaji tahun 2018 dan pihak MFL telah bersetuju bekerjasama dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji berkenaan menerusi pemotongan geran tahunan persatuan itu.

“Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan juga Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini di bawah pengurusan baharu sedang berusaha untuk menstabilkan semula kewangan persatuan masing-masing dan sama sekali tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain,” jelasnya.

Mengulas kes membabitkan kelab yang telah ditutup seperti Marcerra United FC, Kuantan FA, Hanelang FC dan juga Terengganu City FC, Stuart berkata: “Ia adalah isu berlainan kerana pada Khamis lalu (1 Ogos), saya telah bertemu PFAM dan juga para pemain Terengganu City FC dan Hanelang FC untuk mencari jalan penyelesaian membabitkan tunggakan gaji mereka.”