X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

15 tong bahan kimia dipindah ke tempat selamat

Mohd Sharkar
A
A

TEMERLOH - Kesemua 15 tong bahan kimia dipercayai natrium sianida (sodium cyanide) yang ditemui di ladang kelapa sawit dekat Karak pada Jumaat lalu telah dipindahkan ke pusat penyimpanan lebih selamat semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, aktiviti pemindahan dilakukan oleh pihak kontraktor yang mempunyai kelayakan dan kepakaran dalam proses pemindahan bahan kimia.

Menurutnya, pemindahan berkenaan juga diselia Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak serta Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.

"Tiada sebarang kejadian tumpahan atau kebocoran berlaku semasa aktiviti pemindahan dilaksanakan. Malah kesemua 15 tong bahan kimia berkenaan sentiasa tertutup kemas sejak mulai ditemui sehingga ia dipindahkan dengan selamat.

"Bahan kimia yang ditemui bukan bahan sisa buangan berjadual seperti mana yang mungkin disangka atau didakwa sesetengah pihak. Bahan kimia tersebut berada dalam keadaan baik serta tidak terusik dan juga merupakan komponen untuk aktiviti pemprosesan dalam sesetengah sektor atau industri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Pelupusan Buangan Berbahaya negeri berkata, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Gebeng, Kuantan juga telah mengambil bacaan udara di lokasi terbabit.

"Hasilnya pada hari sama (Ahad) Hazmat mengesahkan bahawa tiada bacaan hidrogen sianida dikesan di lokasi kejadian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahan kimia mungkin untuk dijual

Tambahnya, satu operasi bersepadu telah dilakukan pada Sabtu lalu dengan menyerbu premis yang disyaki menggunakan bahan kimia tersebut.

"Siasatan awal mendapati bahawa premis terbabit tidak menggunakan bahan kimia yang dinyatakan. Sehubungan itu usaha mencari dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab masih lagi dijalankan," katanya.

Mengulas kejadian lapan anggota polis mengalami simptom loya dan muntah selepas membuat pemantauan di lokasi pada Jumaat lalu, beliau berkata, kesemua anggota berkenaan dimasukkan ke wad Hospital Bentong sebagai langkah berjaga-jaga walaupun hasil ujian menunjukkan keputusan negatif.

"Status terkini keadaan kesemua lapan anggota berada dalam keadaan stabil dan empat daripadanya yang berada di wad telah pun dibenarkan pulang ke rumah," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!