Kaji semula kontrak Pengerusi LPUPM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memendekkan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (LPUPM), Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dipercayai dibuat berdasarkan nasihat yang salah.

Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM), Datuk Raihan Sharif berpendapat, jawatan Pengerusi LPUPM itu adalah satu jawatan tinggi dan penting.

Menurutnya, sebarang penamatan jawatan ini perlulah melalui proses yang lebih bermaruah.

"Pemakluman pemendekan tempoh lantikan itu tidak mencerminkan teras falsafah kerajaan PH berlandaskan ketelusan dan 'Rule of Law'.

"Dengan memendekkan lantikan tersebut dalam tempoh 10 bulan sahaja tanpa sebarang alasan yang jelas dan tidak diberi peluang untuk berbincang, menggambarkan seolah-olah Pengerusi LPUPM telah melakukan kesalahan yang besar yang perlu ditamatkan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raihan berkata, difahamkan Bahagian Governan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui surat bertarikh 20 Jun 2019 telah mengarahkan Pengerusi LPUPM menjalankan siasatan ke atas salah laku tiga orang pegawai tinggi UPM.

ARTIKEL BERKAITAN: Ghauth Jasmon dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM

Katanya, atas arahan tersebut, beliau telah mengambil inisiatif memulakan siasatan salah laku berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, ahli lembaga pengarah baharu anak syarikat UPM juga telah mengesan tahap governan yang begitu menyedihkan serta berkemungkinan salah laku dalam tadbir urus anak syarikat tersebut.

"Pihak berkenaan telah memohon kepada LPUPM supaya sebuah firma audit bertauliah dilantik untuk menjalankan audit forensik ke atas anak syarikat itu.

"Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan maklumat awam telah membuat lawatan mengejut ke atas anak syarikat UPM tersebut dan beberapa dokumen serta maklumat penting berkaitan kes telah diambil dari pejabat anak syarikat itu," katanya.

Syed Razlan telah menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Presiden PAUPM sejak 20 April 2019 dan bukan lagi presiden seperti yang dirujuk dalam surat menteri.

Beliau dilantik sebagai Ahli LPUPM pada 1 Oktober 2016, bagaimanapun tempoh perkhidmatan Syed Razlan dipendekkan ketika beliau sedang menyiasat dakwaan salah laku melibatkan pihak pengurusan tertinggi universiti.

Pemecatan Syed Razlan dimaklumkan kepada beliau melalui sepucuk surat bertarikh 17 Julai yang ditandatangani oleh Maszlee.