X

Kindly register in order to view this article
!

‘Jangan label kami penjenayah’

Warga Afrika turut ceburi pelbagai bidang pekerjaan profesional di Malaysia
A
A

KUALA LUMPUR - Warga Afrika yang bekerja dan belajar di Malaysia merayu kepada rakyat negara ini agar tidak melabelkan semua orang dari benua itu sebagai penjenayah.

Menurut ketua jurulatih Kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers, Ibrahim Madaki, adalah tidak wajar untuk menganggap semua warga Afrika jahat hanya kerana segelintir kelompok itu yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

“Orang jahat dan baik ada di mana-mana. Jadi tidak adil untuk kaitkan seseorang dengan jenayah hanya kerana warna kulitnya. Masih ramai di antara kami yang sangat menghormati dan menyayangi negara ini yang diibaratkan sebagai rumah sendiri.

"Kami juga bekerja secara halal dan hidup bahagia di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian di sini semalam.

Ibrahim yang berasal dari Nigeria berkata, setakat ini beliau tidak pernah menghadapi diskriminasi daripada rakyat tempatan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan negatif masyarakat awam terhadap warga Afrika di negara ini, meskipun hanya segelintir yang membuat masalah terlibat dengan aktiviti jenayah.

Sementara itu, menurut Pensyarah Komunikasi dan Media Universiti Taylor, Prof Madya Dr Ali Salman, ramai warga Afrika menceburi pelbagai bidang profesional di Malaysia antaranya pendidikan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan sukan yang menyumbang kepada pembangunan modal insan di negara ini.

“Ada warga Afrika yang bekerja dengan Petronas dan juga Telekom Malaysia,” katanya.

Akui Dr Ali, sememangnya beliau dan rakan-rakannya dari benua Afrika sendiri tidak selesa dengan jenayah yang dilakukan segelintir komuniti mereka di sini.

“Kita sokong tindakan pihak polis dan imigresen untuk membanteras kes-kes jenayah yang melibatkan warga Afrika.

“Bagaimanapun, kita tidak selesa cara laporan itu dibuat dan juga cara pihak bertanggungjawab yang menganggap warga Afrika semua adalah jahat. Ini menimbulkan situasi yang tegang di antara warga Afrika dan orang tempatan,” katanya.Justeru, katanya, untuk mengatasi situasi itu, pihak berkuasa mesti mencari punca masalah yang sering berlaku dan melibatkan warga Afrika.

“Saya sebagai warga Afrika yang tinggal di bumi bertuah ini selama 29 tahun boleh memberikan beberapa cadangan jika diperlukan.

“Saya cadang supaya kerajaan mengawasi ejen-ejen dalam negara yang terlibat membawa masuk warga Afrika dengan menjanjikan peluang pekerjaan tetapi akhirnya mereka ditipu dan terlibat dalam jenayah,” katanya.

Dia juga tidak menafikan pernah dipandang sinis oleh rakyat tempatan ketika kes Black Money berleluasa.

“Saya mahu sewa rumah pun susah dan pernah ditolak kerana saya dari Afrika. Tuan rumah tidak mahu berurusan dengan kami,” kata meluahkan pengalamannya sebelum ini.

Terlibat jenayah sebab terdesak, ditipu

Bagi Ogunleye Gbenga Olatunji Anthony pula, dia tidak menafikan jenayah yang dibuat warga Nigeria di Malaysia telah memburukkan imej warga Afrika khususnya dari negara asalnya.

“Sebagai orang Nigeria, kami dikenali sebagai masyarakat yang rajin dan membuat kerja dengan bersungguh-sungguh. Tetapi ada antara kami ditipu ejen yang menguruskan visa ke Malaysia.

“Mereka dijanjikan pekerjaan dan hidup yang baik di Malaysia. Apabila sampai, baru mereka sedar telah ditipu dan akhirnya terdesak melakukan jenayah untuk meneruskan hidup,” katanya.

Ogunleye yang bekerja sebagai penyelaras peperiksaan di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang berkata, dia percaya kadar jenayah itu dapat dikurangkan jika warga Afrika memiliki pekerjaan.

“Masih ramai orang Nigeria yang bekerja secara sah seperti saya. Sebab itu saya merasakan mereka yang membuat jenayah ini terperangkap dalam keadaan disebabkan ketiadaan pekerjaan dan terdesak untuk memenuhi keperluan di tanah asing,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus