Jualan meningkat lebih 50 peratus

Seorang kakitangan (kanan) memberi penerangan mengenai produk naskhah al-Quran kepada pengunjung.
Seorang kakitangan (kanan) memberi penerangan mengenai produk naskhah al-Quran kepada pengunjung.
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf 2019 yang berlangsung selama 10 hari bermula 26 Julai lalu berjaya mencapai sasaran jualan memberangsangkan iaitu peningkatan lebih 50 peratus berbanding sebelum ini.

Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd, Izzat Izhar Muhammad Nasir berkata, jumlah itu menunjukkan satu perkembangan yang sangat positif dan percaya ia diperoleh hasil promosi luar jangkaan serta kelainan yang ditampilkan pada jualan gudang kali ini.

Menurutnya, kebanyakan promosi luar jangka itu terhad kepada buku-buku tertentu yang baharu tetapi dijual pada harga RM1 dan RM5 pada setiap hari.

"Lebih menarik, terdapat kakitangan yang akan menerangkan tentang informasi atau kelebihan buku yang dijual terus kepada pengunjung. Jadi pengunjung akan berasa lebih dekat dan tertarik untuk memiliki buku-buku tersebut pada harga berpatutan seperti ditawarkan.

"Selain itu, saya percaya pelbagai aktiviti yang dibuat sepanjang jualan gudang ini berlangsung seperti Klinik al-Fatihah, kelas grammar termasuk aktiviti untuk kanak-kanak menjadi antara tarikan kepada pengunjung untuk hadir kerana mereka tahu Karangkraf tidak hanya menumpukan pada jualan buku semata," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Izzat Izhar berkata, jualan gudang kali ini menyaksikan al-Quran mendapat permintaan tinggi diikuti novel, buku agama dan buku pendidikan.

Pengunjung memanfaatkan hari akhir jualan gudang untuk membeli pelbagai buku pada harga berbaloi.
Pengunjung memanfaatkan hari akhir jualan gudang untuk membeli pelbagai buku pada harga berbaloi.

Katanya, pihaknya juga menerima banyak respons positif daripada pengunjung yang bukan sahaja berpuas hati dengan buku dan harga yang ditawarkan, malah memuji kemudahan yang disediakan seperti parkir kenderaan, tempat jualan yang berhawa dingin, surau, tandas, tempat istirahat dan gerai jualan makanan.

Artikel Berkaitan:

Izzat Izhar memberitahu, pihaknya berjaya menarik 3,500 keahlian baharu untuk kad VVIP Karangkraf dalam tempoh 10 hari jualan gudang berlangsung dan ia sekali gus memberi kelebihan kepada pengunjung untuk mendapatkan diskaun tambahan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian hari ini mendapati rata-rata pengunjung memanfaatkan pembelian pada hari terakhir jualan gudang kali ini, malah bilangan yang hadir dilihat luar biasa berbanding sembilan hari sebelumnya.

Sempat beli walaupun pada saat akhir

Seorang pengusaha katering bersyukur kerana masih sempat untuk mendapatkan majalah masakan pada hari terakhir Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf 2019 hari ini.

Imran Abas, 44, berkata, dia hanya mengetahui tentang jualan gudang tersebut melalui seorang rakan sebelum bergegas ke Kompleks Media Karangkraf pagi semalam kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan buku dikehendaki.

Seorang pengunjung sedang memilih bahan bacaan bersesuaian untuk anak-anaknya.
Seorang pengunjung sedang memilih bahan bacaan bersesuaian untuk anak-anaknya.

"Mujur sempat, alhamdulillah. Kalau tak sempat beli memang gigit jarilah. Memang banyak majalah masakan yang boleh saya beli pada harga murah untuk dijadikan panduan atau ilham dalam mengolah dan menyediakan resipi baharu," katanya yang sudah 15 tahun mengusahakan katering di Shah Alam.

Sementara itu, bekas Guru Besar, Norhaizan Mahussin, 59, yang mengendalikan kelas grammar pada jualan gudang kali ini berkata, sambutan diterima daripada pengunjung berusia 9 hingga 12 tahun sangat menggalakkan.

Menurutnya, untuk satu sesi kelas, ada 50 peserta yang mana mereka hanya perlu mendaftar pada harga RM20 dan memperoleh buku tulisannya, My Yellow Book yang memberi penekanan dari segi cara memahami dan membetulkan 'grammar' Inggeris dengan tip yang mudah.

"Melalui kelas tersebut, hampir 50 peratus peserta dikenal pasti mempunyai masalah 'grammar' tetapi selepas diajar tiga teknik menerusi buku ini dalam masa sejam, mereka dilihat lebih berkeyakinan dan dapat memahami dengan mudah," katanya yang berpengalaman selama 36 tahun dalam bidang perguruan.