198 ketua cabang sokong Anwar jadi PM kelapan

Sidang media ketua-ketua cabang PKR, hari ini. -Foto Sinar Harian
Sidang media ketua-ketua cabang PKR, hari ini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lebih 90 peratus Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau 198 daripada 219 cabang berdaftar tegas hanya mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, sokongan daripada majoriti ini menepis persepsi dan tanggapan bahawa PKR sedang bergolak dan berpecah.

“Kita langsung tak bincang berkenaan pemimpin lain, subseksyen lain. Selepas Dr Mahathir memang Anwar. Sokongan ketua-ketua cabang ini membuktikan PKR masih utuh dan bersatu di bawah pimpinan Anwar sebagai Presiden parti.

“Tapi kalau tanya kami, ahli-ahli PKR, semalam lagi kami mahu Anwar jadi Perdana Menteri, tapi kita patuh resolusi Pakatan Harapan (PH), ” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Noor Amin memberitahu semua ketua cabang PKR seluruh negara dihubungi untuk menyatakan pendirian jelas dan tegas menyokong kepimpinan Anwar selaku Presiden PKR dan Perdana Menteri kelapan.

“Atas semangat ini, kami yang mewakili 198 ketua cabang PKR seluruh negara melebihi 90 peratus terpanggil untuk menyatakan sokongan padu kepada Anwar untuk memacu dan memimpin parti dalam meneruskan idealisme perjuangan reformasi serta menjadi tonggak utama PH.

“Kami juga komited mendukung Anwar untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan seperti yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan PH menjelang PRU14, Mei tahun lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar bagaimanapun mengakui semua parti ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya semua parti ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu, cuma apabila ketua-ketua cabang tampil menyatakan sokongan ini bukti tidak ada pertikaian dalam PKR.

“Berhubung Anwar jadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir... memang ada dalam perbincangan ini, cuma tak ada tarikh.Jadi, sidang media hari ini untuk tunjukkan bukti bahawa tidak ada perpecahan, yang ada mungkin perbezaan pendapat, ini kenyataan selari,” katanya.