Bekas banduan dipenjara sekali lagi

Mohd Faizol sewaktu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Mohd Faizol sewaktu dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Seorang banduan sekali lagi dipenjarakan 14 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana pecah masuk bangunan dan sembunyikan harta.

Tertuduh, Mohd Faizol Mamat @ Sulong, 30, turut berdepan hukuman penjara empat bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed membuat keputusan itu setelah tertuduh mengaku salah terhadap enam pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 457 A kanun yang sama, dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 414 KK.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pecah bangunan dan mencuri wang tunai RM200 milik Mohd Salahadi Husin, 36, di Pejabat Pusat Pembangunan dan Harta Universiti Malaysia Terengganu (UMT),Kuala Nerus antara jam 7 malam hingga 7.40 pagi pada 1 November hingga 4 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 457 KK dan dibaca bersama Seksyen 457A kanun yang sama, Nurul Huda Akmal menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan daripada tarikh ditangkap dan denda RM3,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Dia juga mengulangi kesalahan sama dengan mencuri pelbagai barangan berharga seperti dua utas jam tangan, telefon bimbit dan wang tunai milik lima lagi mangsa di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan. Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan.

Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh sabitan selepas mengaku salah dengan sengaja memindahkan harta iaitu sebuah komputer riba jenama HP milik Puspa Liza Ghazali di sebuah rumah di Kampung Bukit Tunggal, di sini, kira-kira jam 2 petang pada 4 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aizat Ashari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, tertuduh turut mengaku salah terhadap lima pertuduhan mengikut Seksyen 457 KK kerana melakukan pecah bangunan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.