Bulan Kebangsaan: Pemilihan Melaka berdasarkan sejarah

Gobind bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran program tersebut malam tadi. - Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN
Gobind bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran program tersebut malam tadi. - Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 berasaskan kepada sejarah kemerdekaan yang tercipta di bumi bertuah ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, Melaka dipilih berdasarkan sejarah pengisytiharaan Kemerdekaan Tanah Melayu yang bermula di Padang Banda Hilir Melaka dan kini dikenali Dataran Pahlawan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956.

Menurutnya, pada tarikh itu, Almarhum Tuanku, telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957.

"Berkat kerja keras dan usaha pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air, negara kita telah mengecapi 62 tahun kemerdekaan.

"Rakyat di negara ini hidup dalam keadaan selesa, harmoni dan makmur serta nilai kemerdekaan yang diraikan bukan sahaja merdeka daripada dijajah, namun paling penting keupayaan kita semua hidup dengan bersatu dalam suasana aman damai," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini malam tadi.

Tambahnya, kerajaan menggalakkan pelbagai inisiatif dalam kalangan masyarakat bagi merai dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara sukarela.

"Saya menggesa semua rakyat Malaysia bersama-sama meraikan bulan kebangsaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, bangunan pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh perasaan bangga dan gembira," katanya.

Artikel Berkaitan: