UPNM nafi deraan budaya biasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menafikan bahawa deraan merupakan satu budaya dan kebiasaan di universiti itu.

Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa UPNM berkata, sebaliknya universiti itu mengambil serius terhadap sebarang kes deraan sama ada melibatkan pegawai kadet mahupun pelajar awam.

"Dalam pada itu, UPNM tidak menafikan bahawa pernah berlaku kes-kes deraan di masa lepas. UPNM telah mengamalkan konsep 'zero tolerancy for ragging' dan mereka yang terlibat telah diambil tindakan tatatertib termasuk pembatalan tauliah serta disabitkan di mahkamah mengikut perundangan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular video-video di media sosial yang memberi gambaran bahawa deraan merupakan satu amalan biasa di UPNM.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan siasatan dalaman yang telah dijalankan, video yang ditularkan itu adalah kes yang berlaku pada 2016 dan memberi gambaran tidak tepat mengenai keadaan ketika ini.

"Ia juga membawa kesan negatif terhadap imej UPNM. Motif pihak yang viralkan ini tidak diketahui.

"Satu laporan polis telah dibuat mengenai video ini agar siasatan dapat dijalankan untuk menentukan pihak terlibat serta motifnya

"Diharapkan kenyataan ini dapat memberi penjelasan dan gambaran sebenar terhadap video yang diviralkan serta pendirian UPNM mengenai isu penderaan di universiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, UPNM akan terus memberi fokus kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan di samping melahirkan graduan berkualiti dan berkebolehan dengan ciri kepimpinan yang mendorong kepada kebolehpasaran graduan yang tinggi.