Fawwaz kini tak mampu berdiri, bertutur

Mohd Bukhari memangku Muhammad Fawwaz Adli yang kini hanya terlantar selepas dibenarkan pulang dari hospital.
Mohd Bukhari memangku Muhammad Fawwaz Adli yang kini hanya terlantar selepas dibenarkan pulang dari hospital.
A
A
A

SEREMBAN - Selepas tiga minggu dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari 5, yang cedera dihempap peti sejuk 12 Julai lalu, kini telah dibenarkan pulang.

Namun, berat ujian yang ditanggung Mohd Bukhari Zainal Annuar, 33, apabila anak sulungnya itu kini tidak mampu berdiri dan bertutur.

"Saya bersyukur Muhammad Fawwaz Adli telah dibenarkan keluar hospital, tapi keadaannya tidak sama seperti dulu.

"Kesan daripada kecederaan bahagian otak dialami sewaktu kejadian itu, anak saya hanya mampu terbaring dan paling berat lagi untuk diterima apabila doktor beritahu mungkin keadaannya begitu untuk tempoh yang lama," katanya kepada Sinar Harian.

Meskipun pahit untuk ditelan, Mohd Bukhari berkata, dia reda dan akan terus berusaha memulihkan Muhammad Fawwaz Adli.

Ucapan terima kasih turut dizahirkan Mohd Bukhari kepada pelbagai pihak yang tidak putus menitipkan doa dan memberi sumbangan.

"Anak saya juga perlu menjalani rawatan susulan di HTJ. Pada masa sama saya juga akan dapatkan rawatan alternatif sebagai ikhtiar kesembuhannya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Muhammad Fawwaz Adli mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas ditimpa peti ais setinggi kira-kira 1.8 meter di rumahnya di Taman Cempaka, Nilai pada 12 Julai lalu, kira-kira jam 11 malam.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu disedari ibunya berusia 30 tahun selepas terdengar bunyi dentuman kuat dan disusuli teriakan anaknya menangis.

Bagaimanapun tidak pasti bagaimana kejadian sebenar berlaku, tetapi ahli keluarganya mengesyaki kanak-kanak itu memanjatnya menyebabkannya tumbang.