2 Briged Infantri kini di bawah 4 Divisyen

Mohd Nazir (tengah) sempena pertukaran saluran pemerintahan 2 Briged dari pemerintahan 2 Divisyen kepada 4 Divisyen di Padang Kawad Batalion ke-2 RRD Kem Syed Putra hari ini.
Mohd Nazir (tengah) sempena pertukaran saluran pemerintahan 2 Briged dari pemerintahan 2 Divisyen kepada 4 Divisyen di Padang Kawad Batalion ke-2 RRD Kem Syed Putra hari ini.
A
A
A

IPOH - Markas 2 Briged Infantri semalam secara rasmi bertukar formasi dari 2 Divisyen kepada 4 Divisyen.

Pertukaran saluran pemerintahan melibatkan lebih 3,000 anggota itu disaksikan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Datuk Mohd Nazir Mami di Padang Kawad Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Kem Syed Putra di sini.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Nazir berkata, pertukaran itu selaras dengan penstrukturan dan penjajaran semula organisasi tentera darat sepertimana diperakui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Panglima Tentera Darat pada 7 Mei lalu yang bersetuju agar Pemerintahan 2 Briged diletakkan di bawah perintah Markas 4 Divisyen.

“Sebelum ini 4 Divisyen bertanggungjawab kepada pemerintahan di Selangor dan Wilayah Persekutuan, namun kita melihat apa yang dimiliki pasukan ini iaitu 11 dan 12 Briged masih belum berupaya untuk memastikan keselamatan negara dapat dijaga dengan baik.

“Atas sebab itu kita letakkan 2 Briged di bawah 4 Divisyen bagi membolehkan pasukan ini berfungsi sebagai sebuah divisyen tempur yang efektif dan efisien selain melaksanakan tugas-tugas hakiki sebagai divisyen yang bertanggungjawab kepada aspek rejimental dan upacara ketenteraan,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, perubahan itu bagaimanapun tidak memberi kesan langsung dari segi struktur dan kawasan tanggungjawab, hanya tambahan aset kepada 4 Divisyen sahaja bagi mengimbangi saluran pemerintahan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nazir berkata, 4 Divisyen selepas ini mengambil alih pemerintahan di tiga negeri termasuk Perak sementara Divisyen 2 bertanggungjawab dalam pemerintahan di lima negeri sahaja iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Perlis (sempadan Malaysia-Thailand) menerusi pasukan 6, 8 dan 30 Briged.

“Ini merupakan satu detik sejarah kepada tentera darat dan kita lakukan ini selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa,” katanya.

Penukaran lencana taktikal kepada 4 Divisyen oleh pegawai dan anggota 2 Briged.
Penukaran lencana taktikal kepada 4 Divisyen oleh pegawai dan anggota 2 Briged.