1,762 peket gula-gula 'Ghost Smoke' dirampas

A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 1,762 peket gula-gula 'Ghost Smoke' melalui pemeriksaan di premis perniagaan yang menjual produk itu sejak 23 hingga 31 Julai lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, rampasan itu dibuat selepas pihaknya memeriksa 2,401 premis di peringkat pemborong dan peruncit, susulan kebimbangan ibu bapa mengenai barangan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

"Daripada pemeriksaan tersebut, dua belas kertas siasatan telah dibuka dan sejumlah 1,762 paket gula-gula 'Ghost Smoke' dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan tegas jika gula-gula 'Ghost Smoke' ada nikotin

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki menjual barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu, katanya.

Iskandar Halim berkata mereka yang disabitkan bersalah boleh didenda maksimum RM250,000, manakala bagi peniaga bukan pertubuhan perbadanan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Beliau mengingatkan peniaga agar menghentikan segera penjualan gula-gula berharga 50 sen itu yang dikesan dijual secara meluas di kalangan pelajar sekolah.

Iskandar Halim berkata, sebarang maklumat mengenai premis menjual gula-gula itu boleh diadukan kepada KPDNHEP untuk diambil tindakan melalui talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317 atau melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my.

Sementara itu di Kuala Terengganu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu melalui operasi khas di premis-premis sekitar sekolah sehingga ini mendapati tiada penjualan gula-gula 'Ghost Smoke' dikesan di negeri itu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata hasil pemeriksaan di 206 premis sejak 23 Julai lepas mendapati peruncit akur dengan arahan untuk tidak menjual gula-gula tersebut.

Namun katanya, pihaknya akan meneruskan operasi itu bagi memastikan peniaga terus mematuhi larangan penjualan produk itu. - Bernama