Isu gula: KPDN periksa 2,295 premis di empat negeri

Fuziah beramah mesra bersama sebahagian asnaf penerima sumbangan Rahmah pada majlis penyerahan sumbangan itu di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Sabtu.
Fuziah beramah mesra bersama sebahagian asnaf penerima sumbangan Rahmah pada majlis penyerahan sumbangan itu di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,295 premis berkaitan isu gula melibatkan empat negeri, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah setakat ini.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, daripada keseluruhan pemeriksaan itu 848 premis di Kelantan, Terengganu (442 premis), Pahang (597 premis) dan Kedah (405 premis).

"Mengenai aduan yang diterima, setakat ini Kedah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 37 aduan diikuti Kelantan dan Terengganu masing-masing empat aduan.

"Bagaimanapun tiada aduan diterima berkaitan isu gula di Pahang sepanjang Ops Manis di negeri ini dalam tempoh 10 Mei hingga 1 Jun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rahmah di sini pada Sabtu.

Fuziah berkata, kerajaan memberi jaminan bekalan gula mencukupi dan tidak berlaku kenaikan harga sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

"Arahan telah dikeluarkan kepada pihak pengeluar dengan jumlah pengeluaran gula ditetapkan sebanyak 42,000 tan metrik sebulan.

"Pemeriksaan dilakukan setiap minggu bagi memastikan pengeluar mematuhi arahan dengan mengeluarkan gula mengikut kadar yang telah ditetapkan bagi memastikan isu kekurangan bekalan tidak berlaku sehingga menimbulkan keresahan pengguna," katanya.

Tambah beliau, harga gula kekal RM2.85 sekilogram bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95 untuk gula putih bertapis halus.

"Bagi gula premium dengan harga lebih tinggi adalah untuk segmen pengguna tertentu dan penjualannya terpulang kepada pengeluar untuk sasaran pasarannya," katanya.

Sementara itu, katanya, sumbangan Rahmah yang diserahkan kepada 300 penerima dalam kalangan asnaf kategori al gharimim dari tiga kawasan Parlimen di Kuantan itu merupakan zakat wakalah dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Setiap penerima menerima sumbangan tunai RM100 dan bakul Rahmah juga bernilai RM100," katanya.