Wajibkan kibar Jalur Gemilang

A
A
A

HARI ini kita sudah berada di helaian pertama bulan Ogos. Ini bermakna kita sudah melangkah masuk ke dalam bulan kebangsaan negara, yang kemuncaknya akan diakhiri dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sepertimana selalu. Lazimnya bulan ini akan disemarakkan dengan pelbagai pengisian yang berunsur kenegaraan. Tujuannya bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan bulan kebangsaan semata-mata, tetapi juga memupuk kesedaran dan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun banyak aktiviti dan program yang telah diatur bagi tujuan itu, ia tidak akan bermakna kalau rakyat Malaysia sendiri tidak ada kemahuan untuk turut sama memeriahkannya. Kalaulah tahap patriotisme menjadi ukuran, barangkali selemah-lemah rakyat Malaysia sepatutnya mampu hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang; baik di rumah, pejabat, premis perniagaan ataupun di kenderaan masing-masing di sepanjang bulan ini. Kalau itupun tidak mampu dilakukan, maka tiada maknalah bulan kebangsaan dan sungguh malang negara ini mempunyai rakyat yang sedemikian.

Benar semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah sekadar mengibarkan bendera semata-mata. Tetapi inilah sekecil-kecil petunjuk taat setia dan bukti kecintaan dan kehormatan kita kepada ibu pertiwi tercinta. Namun begitu, menerusi pengalaman dan pemerhatian kita terhadap budaya mengibarkan bendera dalam kalangan rakyat Malaysia sememangnya amat mendukacitakan. Kalau diperhatikan, dalam 10 buah rumah atau premis, mungkin hanya ada dua atau tiga sahaja yang mengibarkannya. Itupun sudah dikira cukup bagus.

Yang banyak pun mungkin berlaku hanya di rumah pangsa kos rendah milik kerajaan ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT). Itupun sebab ia dibekalkan secara percuma oleh PBT berkenaan. Kadangkala sudah diberi percuma pun, masih ada yang enggan mengibarkannya. Kalau dikibarkan pula, cara dan tempatnya pun seakan acuh tak acuh sahaja.

Berbanding di luar negara misalnya di Amerika Syarikat, United Kingdom malah negara tetangga kita Indonesia, mereka mengambil inisiatif untuk memasang bendera di kediaman dan premis masing-masing dengan perasaan bangga dan gembira. Malah ada negara tertentu yang mewajibkan pengibaran bendera kebangsaan terutamanya pada hari kebesaran negara.

Setakat ini hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pernah mempertimbangkan untuk mewajibkan pemasangan Jalur Gemilang di setiap premis sebagai syarat pembaharuan lesen mereka. Ini dibuat sebagai inisiatif bagi menggalakkan orang ramai terutama pemilik premis perniagaan dan bangunan memasang Jalur Gemilang untuk memupuk patriotisme sekali gus menyuntik semangat meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

Namun setakat ini ia masih tidak dilaksanakan. Lebih menggerunkan, semakin hari dilihat semakin ramai golongan muda yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sepertimana yang dilakukan oleh generasi sebelumnya. Kita masih ingat akan sikap negatif kelompok ini terhadap penerimaan lagu Negaraku yang dikumandangkan sebelum tayangan dimulakan di setiap pawagam sebagai sebahagian daripada program Hari Kebangsaan 2013.

Kalau perkara itu pun masih belum mencetus rasa gusar kepada kita semua, apa akan jadi kepada masa depan negara dan warganya. Apakah masih ada rasa setia, cinta dan sayang mereka kepada tanah air ini?

Artikel Berkaitan:

Mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah sekadar simbolik semata-mata. Ia adalah satu proses penyemaian semangat patriotisme yang penting dalam memupuk, mencanai dan mengasuh rakyatnya bagi membina negara yang kuat dan dihormati. Inilah kunci dan intipati negara maju dalam menjadikan mereka sebagai sebuah kuasa yang digeruni.

Ingatlah, hanya semangat patriotisme sahajalah yang mampu menerbitkan rasa cinta yang mendalam kepada negara. Dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan rakyat kita, sudah tentu patriotisme ini bertambah penting dalam membangkitkan kesedaran nasional dalam membentuk jati diri sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan keberadaan dan kesiagaan kita menghadapi ancaman musuh, baik dalaman mahupun luaran agar Malaysia terus kekal menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat.

Budaya mengibarkan bendera dalam kalangan rakyat Malaysia sememangnya amat mendukacitakan."