Pesta Buku Langkawi tahun depan

Pesta Buku Kedah 2019 disertai 48 pempamer melabuhkan tirai setelah tujuh hari berlangsung di Village Mall Sungai Petani Kedah.
Pesta Buku Kedah 2019 disertai 48 pempamer melabuhkan tirai setelah tujuh hari berlangsung di Village Mall Sungai Petani Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebahagian daripada pembekal dan penerbit Pesta Buku Kedah 2019 mengesahkan kehadiran menyertai Pesta Buku Langkawi, awal tahun depan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria berkata, perkara itu adalah berita baik buat penduduk Langkawi bagi mendapatkan pelbagai pilihan bahan bacaan.

Menurutnya, penganjuran itu telah lama dirancang dan diharapkan memberi manfaat buat penduduk pulau legenda itu.

"Kita rancang untuk awal tahun ni, tarikh belum ada namun diharapkan ia mampu dijayakan dengan baik," katanya ketika ditemui sempena hari terakhir Pesta Buku Kedah 2019 di Village Mall Sungai Petani.

Pesta Buku Kedah yang berlangsung selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Julai 2019 disertai 48 pempamer terdiri daripada pembekal dan penerbit buku seluruh Malaysia termasuk Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd.

Beliau berkata, Pesta Buku Kedah melabuhkan tirai hari ketujuh dengan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk kehadiran personaliti hebat dan jemputan dalam pelbagai bidang.

"Kita berharap agar aktiviti tahunan ini akan lebih meriah lagi pada masa akan datang dan kita juga mengalu-alukan kerjasama syarikat swasta lain untuk terlibat.

"Pesta Buku Kedah 2019 juga menyaksikan beberapa buah buku baharu dilancarkan antaranya daripada Abot, Hadi Fayyadh dan Datuk Dr Mohd Daud Bakar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau juga mengharapkan lebih banyak buku baharu dikeluarkan sempena Pesta Buku Kedah 2020 nanti agar dapat dilancarkan pada waktu sama.

"Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan terutama pihak sekolah yang mengambil bahagian dari peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi, kesemuanya menepati sasaran penganjuran," katanya.

Beliau berkata, untuk mempelbagaikan bahan bacaan, pihaknya sedang berusaha membawakan buku berlainan bahasa antaranya Mandarin, Arab dan Tamil bagi memenuhi kehendak masyarakat berbilang kaum pada penganjuran akan datang.

"Kita juga berterima kasih kepada semua pihak antaranya kerajaan negeri, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia, Grup Buku Karangkraf, Bekazon dan Pusat Ilmuan Darulaman yang turut memberikan kerjasama dalam penganjuran kali ini," katanya.