Saya hanya mahu fokus kerja: ADUN Ijok

Idris
Idris
A
A
A

SHAH ALAM - ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad enggan memberi sebarang komen susulan daripada spekulasi kononnya nama beliau bakal diangkat sebagai Menteri Besar Selangor selepas ini.

Menurut Idris, beliau tidak mahu membuat andaian berhubung perkara itu dan ingin memberi fokus kepada tugasnya sebagai ADUN.

"Saya tak nak komen semua andaian ini. Don't listen to rumours. Saya (hanya) fokus kepada kerja saya,"katanya kepada Sinar Harian selepas mengikuti sesi Sidang Dun, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau mengadakan pertemuan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Idris kemudiannya menafikan perkara itu.

"Saya tak ada bertemu sesiapa, saya pun tak nak buat andaian (kerana) saya pun tak tahu,"katanya.

Difahamkan, kedudukan Menteri Besar, Amirudin Shari dilihat semakin tergugat susulan daripada sokongan beliau terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Malah, Amirudin yang juga merupakan Pengerusi PKR Selangor sehingga kini masih belum menandatangani dokumen khas bagi menyatakan sokongan kepada Anwar dan beranggapan tiada keperluan untuk melakukan perkara itu berikutan jawatan presiden tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak.

Idris sebelum ini pernah mengkritik pemilihan Amirudin sebagai menteri besar dan mendakwa pelantikan ADUN Sungai Tua itu tidak mendapat restu daripada Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan: